TELUPID, 24 April – Pekebun kecil sawit di negara ini digalak merebut peluang bantuan yang disediakan kerajaan iaitu skim insentif pembiayaan tanam semula pekebun kecil sawit (TSPKS) bagi meningkatkan semula potensi pendapatan melalui tanaman semula pokok sawit tua.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata sebanyak RM100 juta peruntukan disediakan di bawah skim 2.0 itu tahun ini dengan sasaran permohonan 7,000 pekebun kecil sawit.

“Namun setakat ini, masih banyak ruang untuk permohonan dan saya galakkan pekebun kecil yang memiliki 6.5 hektar penanaman sawit ke bawah tampil merebut peluang ini, cari Agrobank, cari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk maklumat lanjut dan pohon skim ini sekali gus peruntukan ini dapat diguna pakai sepenuhnya.

“Skim ini bagi mengekalkan produktiviti industri sawit negara …20 peratus pokok sawit kini sudah tua jadi perlu untuk penanaman semula, ini juga usaha kerajaan ke arah menoktahkan kemiskinan, misalnya di Telupid,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian program tanam semula sawit pekebun kecil 2.0 daerah Telupid di sini hari ini yang disertai 200 orang.

Chan berkata krisis antarabangsa seperti pergolakan di Timur Tengah dan Eropah Timur meningkatkan harga minyak mentah global serta menjejaskan pengeluaran minyak serta lemak dunia sekali gus menyumbang kepada pengumuman minyak sawit yang kini melebihi paras RM4,000 bagi satu tan.

Beliau juga berkata kerajaan menyediakan bantuan seperti Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit, Skim Insentif Integrasi Tanaman dengan Sawit (ITa) dan Skim Insentif Integrasi Ternakan dengan Sawit bagi ternakan unggas (ITe) untuk memberi kapasiti dan menampung pendapatan pekebun kecil sebagai galakan penanaman semula.

“Sehingga 31 Mac 2024, sebanyak 355 projek integrasi ternakan telah diluluskan di Sabah yang terdiri daripada 13 projek ternakan ayam dan empat projek ternakan itik di daerah Telupid,” katanya.

Chan turut menyampaikan lapan skim insentif ITa dan skim insentif ITe serta 10 Sijil Minyak Sawit Mampan kepada pekebun kecil di Telupid.

Kenyataan MPOB pula memaklumkan pekebun kecil boleh merujuk kepada pegawai TUNAS MPOB di setiap negeri bagi mendapatkan maklumat atau bimbingan berkaitan bantuan kerajaan serta pengurusan ladang sawit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here