KUALA LUMPUR, 8 Jun — Kementerian Kesihatan (KKM) akan memulakan rawatan ubat antibodi “monoclonal Tixagevimab plus Cilgavimab” (EVUSHELD) dalam waktu yang terdekat untuk memastikan golongan berisiko tinggi terus mendapat perlindungan daripada jangkitan COVID-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata buat masa ini ubat antibodi EVUSHELD hanya akan diberikan di hospital kerajaan dan ia boleh digunakan sebagai profilaksis prapendedahan (PrEP) untuk golongan yang belum dijangkiti COVID19 tetapi berisiko tinggi untuk dijangkiti.

“Kajian menunjukkan bahawa ubat antibodi EVUSHELD dapat melindungi penerima dari jangkitan COVID-19 untuk jangka masa enam bulan selepas pemberian suntikan.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairy menjelaskan kaedah pemberian ubat antibodi itu adalah melalui dua suntikan intramuskular yang berasingan bagi dua jenis ubat iaitu Tixagevimab dan Cilgavimab yang diberikan secara berturut-turut.

Katanya bagi pesakit kurang daya tahan imun  (immunocompromised) yang telah menerima vaksin COVID-19, EVUSHELD hendaklah diberikan sekurang-kurangnya dua minggu selepas vaksinasi.

Mengulas lanjut, Khairy berkata penilaian kelayakan pesakit untuk menerima ubat antibodi berkenaan  akan dilakukan oleh pakar perubatan yang merawat.

Antara kriteria pemilihan pesakit adalah berumur 12 tahun dan ke atas; mempunyai berat badan melebihi 40kg dan dalam kalangan golongan immunocompromised sederhana hingga teruk (mengambil kira tindak balas imun golongan ini terhadap vaksinasi COVID-19 yang berkemungkinan tidak mencapai tahap imuniti yang memuaskan).

Selain itu, kriteria pemilihan termasuk individu yang tidak dapat mengambil vaksin sepenuhnya akibat sebab perubatan atau mempunyai sejarah tindak balas teruk terhadap vaksin COVID-19.

Sementara itu, Khairy berkata rawatan menggunakan ubat antiviral Paxlovid untuk merawat pesakit COVID-19 akan diperluaskan ke fasiliti kesihatan swasta terpilih dalam waktu yang terdekat bagi memastikan akses yang lebih baik kepada pesakit.

Beliau memaklumkan pemberian ubat Paxlovid kepada pesakit di fasiliti kesihatan swasta adalah secara percuma tetapi pesakit masih tertakluk kepada caj khidmat rundingan dan lain-lain caj berkaitan yang ditentukan oleh fasiliti kesihatan swasta berkenaan. 

Penggunaan ubat antiviral Paxlovid yang telah dimulakan di fasilti kesihatan KKM sejak 15 April lepas merupakan ubat antiviral oral pertama di Malaysia untuk merawat pesakit COVID-19 yang mengalami gejala ringan hingga sederhana ataupun Kategori 2 dan 3. 

Dalam pada itu, beliau berkata keutamaan pemberian rawatan Paxlovid adalah kepada kumpulan pesakit COVID-19 yang berisiko tinggi.

“Sehingga 5 Jun 2022, seramai 1,364 orang pesakit diberikan rawatan Paxlovid dan telah sembuh sepenuhnya serta tiada sebarang kesan sampingan teruk dilaporkan. Rawatan ini terbukti selamat dan berkesan serta dapat mengurangkan kesan teruk jangkitan dan kadar kematian pesakit COVID-19,” katanya.

Khairy berkata KKM percaya dan yakin bahawa Malaysia kini berada dalam landasan yang terbaik untuk melalui Fasa Peralihan ke Endemik dengan berkesan dan selamat susulan ubat-ubatan serta kaedah rawatan yang sentiasa ditambah baik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here