KUALA LUMPUR, 27 April – Malaysia dan Libya menyambut ulang tahun ke-50 jalinan hubungan diplomatik pada tahun ini dan kedua-dua negara memandang ke hadapan untuk sebuah masa depan yang lebih cerah menerusi kerjasama dan hubungan yang lebih erat.   

Menurut Pejabat Timbalan Menteri Luar, Malaysia dan Libya mengekalkan satu hubungan yang teguh, dikuatkan dengan sikap saling menghormati dan menghargai, sejak awal tahun 1970-an.

“Hubungan merangkumi pelbagai sektor, terutamanya kerjasama ekonomi, pertukaran budaya dan hubungan khas dalam pendidikan dengan lebih 7,000 siswazah Libya merupakan lepasan daripada institusi pengajian tinggi Malaysia.

Malaysia dan Libya menyambut hubungan yang saling memanfaatkan kedua-dua pihak dahulu dan sekarang, dan kedua-dua negara sedia untuk menjalinkan hubungan yang lebih erat dan memperingati peristiwa penting selanjutnya di masa akan datang,” katanya.

Untuk memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Libya, Kedutaan Libya menghoskan satu majlis sambutan di sebuah hotel di sini pada Khamis, menyambut hubungan persahabatan antara kedua-dua negara yang berpanjangan.

Timbalan Menteri Luar  Datuk Mohamed Alamin adalah tetamu kehormat pada majlis itu. Beliau mengucapkan harapan Malaysia untuk kesejahteraan dan kemakmuran Libya selain daripada peningkatan dalam hubungan dua hala dan kejayaan bersama.                                               

Setiausaha Rendah untuk Hal-Ehwal Politik Kementerian Luar dan  Kerjasama Antarabangsa Libya Mohamed Khalil AbuBakr Issa yang mengetuai delegasi khas lawatan ke Malaysia untuk meraikan ulang tahun itu dan Duta Libya ke Malaysia Mohamed Assadiq Masaud Attia dan lain-lain pegawai kanan dari Libya juga menghadiri majlis itu.

Turut hadir Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Almarhum Sultan Salahuddin, Yang Dipertua Dewan Negara  Datuk Mutang Tagal, duta-duta asing dan pegawai kanan Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here