KUALA LUMPUR, 16 Jun — AXA AFFIN Life Insurance Bhd menawarkan Bantuan Dana Sokongan COVID-19 secara eksklusif untuk membantu pelanggan selain bertujuan menggalakkan pengambilan suntikan vaksinasi.

Dalam kenyataan pada Rabu, syarikat itu berkata kemudahan yang diperkenalkan pada Februari 2021 dengan dana RM200,000 itu diberi tanpa kos tambahan untuk pelanggan polisi perubatan AXA AFFIN yang terjejas akibat COVID-19 atau mengalami kesan sampingan selepas vaksinasi.

“Dana ini disediakan mulai sekarang sehingga 31 Ogos 2021 atau sehingga diagihkan sepenuhnya iaitu mana yang terdahulu. Peruntukan dana ini bertujuan menyokong kesihatan dan kesejahteraan pelanggan AXA AFFIN Life Insurance dengan memberi bantuan segera dalam bentuk tunai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Bertugas AXA AFFIN Life Insurance Bhd, Kelvin Wong berkata bantuan tersebut dapat meringankan beban pelanggan yang terjejas akibat jangkitan atau vaksinasi COVID-19.

Turut ditawarkan termasuk bantuan tunai RM1,000 jika pelanggan perlu dikuarantin di pusat ditetapkan oleh kerajaan serta bantuan tunai RM2,000 jika dikuarantin di hospital kerajaan atau swasta.

“Bantuan tunai RM10,000 untuk ahli keluarga terdekat pelanggan jika berlaku kematian akibat COVID-19 manakala bantuan tunai sehingga RM10,000 sekiranya dimasukkan ke wad ICU (unit rawatan rapi) selain ujian pengesanan PCR COVID-19 percuma bernilai RM190,” katanya.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman sesawang www.axa.com.my.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here