KUALA LUMPUR, 23 Mei – Malaysia memberikan komitmen untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai satu daripada 14 negara yang dipilih sebagai Ahli Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Loke berkata semasa lawatan rasmi ke Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri Forum Future Aviation (FAF) beliau mengadakan perbincangan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Arab Saudi, Tunisia, Trinidad and Tobago, Guyana dan Mauritania.

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan pimpinan penerbangan awam dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Oman, Mesir, ICAO, Arab Civil Aviation Organization (ACAO), Caribbean Aviation Safety and Security Oversight (CASSOS) dan Latin American Civil Aviation Commission (LACAC).

“Saya telah memberi komitmen untuk melaksanakan tanggungjawab Malaysia sebagai satu daripada 14 negara yang dipilih sebagai Ahli Majlis ICAO Bahagian III,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.

Selain itu, beliau berkata perbincangan mengenai penambahbaikan jaringan udara serantau dan juga kerjasama kepakaran dalam sektor udara turut diadakan. 

FAF edisi ketiga itu anjuran Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Saudi (GACA) dan berlangsung pada 20 hingga 22 Mei lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here