CHENGDU, 4 Mei — Hasrat Malaysia untuk menamatkan kemarau 32 tahun menjulang Piala Thomas tidak kesampaian apabila tewas kepada tuan rumah China, 1-3 dalam aksi suku akhir edisi 2024 hari ini.

Sokongan penyokong tuan rumah yang memenuhi segenap ruang di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone menyemarakkan lagi semangat pemain China yang ternyata terlalu bagus untuk pasukan Malaysia.

Perseorangan kedua dunia Shi Yu Qi memulakan rentak kemenangan China apabila mengalahkan perseorangan utama Malaysia Lee Zii Jia 21-19, 21-5 dalam perlawanan berlangsung 39 minit.

Aksi pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia ketika menentang pemain China Shi Yu Qi pada peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas 2024 di Pusat Sukan Chengdu High-tech Zone. Keputusan perlawanan Lee Zii Jia tewas 21-19 dan 21-5.

Namun, Malaysia menyamakan kedudukan menerusi gandingan juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang pada awalnya bermula goyah apabila tewas set pertama 15-21 kepada Liang Wei Keng-Wang Chang.

Namun beregu negara itu bangkit memenangi set kedua 21-12 untuk mengheret kepada set penentuan sebelum mengesahkan mata pertama skuad negara dengan menang set ketiga 21-17.

Meskipun mendahului selesa dengan 8-2 pada set pertama, perseorangan ketiga negara Leong Jun Hao gagal mengekalkan rentak cemerlangnya apabila tewas 17-21 kepada Li Shi Feng.

Aksi pasangan beregu Lelaki negara Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik (kiri) ketika menentang pasangan China, Liang Wei Keng dan Wang Chang pada peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas 2024 di Pusat Sukan Chengdu High-tech Zone. Keputusan perlawanan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menang 21-15 12-21 dan 17-21.

Pemain di ranking ke-37 dunia itu terus hilang fokus pada set kedua menyebabkannya melakukan kesilapan mudah ketinggalan 0-11, membolehkan pemenang pingat emas Sukan Asia 2022 itu meraih kemenangan 21-10.

Malaysia sekali lagi berpeluang menyamakan kedudukan menerusi beregu Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang beraksi cemerlang dalam perlawanan sebelum ini.

Pasangan di ranking ke-15 dunia itu bermula langkah kanan apabila menang set pertama 21-18 sebelum tunduk dua set berikutanya kepada He Ji Ting-Ren Xiang Yu 19-21, 17-21 dalam perlawanan berlangsung lebih satu jam.

China akan berdepan Indonesia dalam perlawanan akhir esok.

Terdahulu Indonesia menewaskan Taiwan 3-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Malaysia membuka kempen Kumpulan D dengan kemenangan besar 5-0 menentang Hong Kong, Sabtu lepas dan Algeria pada Ahad, namun gagal mengungguli kumpulan selepas tewas 2-3 kepada Denmark pada Selasa.

Khamis lepas, pasukan negara mengetepikan Jepun 3-1 untuk mara ke separuh akhir selepas lapan tahun.

Sementara itu, pasukan wanita China juga akan berdepan Indonesia dalam perlawanan  akhir Piala Uber esok pagi.

China, juara 15 kali menang mudah 3-0 mengatasi Jepun manakala Indonesia mengejutkan juara bertahan Korea Selatan 3-2 untuk melayakkan diri ke final selepas 16 tahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here