KUALA LUMPUR, 6 Nov — Adfinity Media Sdn Bhd menjalinkan kerjasama dengan platform maklumat pelancongan dan peranginan terkemuka dari China, Mafengwo untuk meningkatkan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan.

Timbalan Pengarah Bahagian Promosi Antarabangsa Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Asia/Afrika) Chan Hon Mun berkata, kerjasama ini diharap dapat meningkatkan sasaran negara yang mahu mencapai kedatangan 3.2 juta pelancong dari China pada tahun ini dan 3.48 juta semasa Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Kami tidak mempunyai sasaran yang sangat besar disebabkan keadaan ekonomi semasa serta dasar China dan Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran persidangan strategi penyetempatan terbaharu lembaga itu yang bertajuk ‘2020 Mafengwo go Around Malaysia’ di sini hari ini.

Persidangan itu juga memasukkan upacara pemeteraian Memorandum Persefahaman antara Mafengwo dan Adfinity Media, yang akan menjadi satu-satunya platform pengiklanan tempatan untuk perniagaan Malaysia yang berminat bagi membeli iklan di portal/aplikasi Mafengwo.

Kata Chan lagi, angka ketibaan pelancong China melonjak 29 peratus dari tahun ke tahun kepada 2.94 juta pada 2018, menyumbang sebanyak RM12.3 bilion kepada ekonomi negara.

Lembaga itu yang menjangkakan peningkatan drastik kedatangan pelancong China, sedang menggalakkan operator dan ejen-ejen pelancongan tempatan untuk menerima pakai konsep pelancongan pintar bagi mempromosikan Malaysia di China melalui perkongsian dengan agensi pelancongan dalam talian seperti Mafengwo.

Mafengwo menyediakan platform, ekosistem digital untuk perusahaan Malaysia menjangkau kepada 1.4 bilion penduduk China dengan menggunakan kaedah pemasaran seperti kandungan dan promosi digital.

Naib Presiden Kanan Mafengwo, Yu Zhuo dalam ucapannya menjelaskan syarikat itu mahu membantu peneraju industri pelancongan Malaysia dengan mewujudkan sumber kandungan dalam talian untuk pelancong China, melalui kewujudan sebuah ekologi pemasaran berteraskan Malaysia.

Pengarah Perkongsian Antarabangsa Mafengwo, Mona Liu turut hadir.

Bersempena dengan pemeteraian MoU hari ini, Mafengwo memilih tujuh pedagang tempatan, yang terdiri daripada restoran, tarikan pelancongan dan penyedia penginapan sebagai Pilihan Terbaik Mafengwo.

Masjid Negara di Kuala Lumpur pula dinamakan sebagai salah satu pemenang ikon pelancongan Mafengwo selepas menerima penarafan tinggi daripada pengguna aplikasi tersebut.

Bercakap kepada Bernama di luar persidangan hari ini, Penolong Pegawai Maklumat Masjid Negara Ahmad Faisal Azman berkata pelancong China, termasuk pelancong ulangan, menyumbang separuh daripada 240,000 pelancong dari 124 negara yang melawat masjid itu pada tahun lepas.

Mafengwo menyediakan pelancong China dengan penyelesaian perjalanan sehenti merangkumi kemudahan tempahan sehingga kepada panduan perjalanan.

Mafengwo yang memberi tumpuan kepada panduan perjalanan serta penggunaan Data Besar ke atas kandungan yang dijana pengguna, menawarkan semua dimensi maklumat perjalanan dan perkhidmatan tempahan produk termasuk pengangkutan, hotel, sukan, katering, membeli-belah dan percutian, meliputi lebih daripada 60,000 destinasi di seluruh dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here