PETALING JAYA, 20 Nov — Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus menjalankan pelbagai program kempen kesedaran untuk meningkatkan pemahaman masyarakat bagi mengelakkan mereka terus menjadi mangsa penipuan dalam talian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata ini kerana terdapat peningkatan kes penipuan itu sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini jika dibandingkan keseluruhan kes sepanjang tahun lalu yang dijangkakan akan terus meningkat menjelang akhir tahun ini.

“Statistik sepanjang tahun lepas mencatatkan 17,109 kes melibatkan kerugian sebanyak RM509,988 juta berbanding tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, jumlahnya sebanyak 17,537 kes membabitkan RM449, 511 juta.

“Kadar jenayah ini tidak menurun dan ada peningkatan berbanding tahun lepas dan kami buat kempen ini bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kaedah penipuan dalam talian dan cara untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa sindiket ini,” katanya pada sidang media selepas mengedarkan risalah sempena Kempen Pencegahan Jenayah Komersial kepada pengunjung pada Program High Profile Policing (HPP) di pusat beli-belah Sunway Pyramid, di sini hari ini. 

Mohd Kamarudin berkata kesedaran orang ramai mengenai aktiviti penipuan dalam talian masih kurang dan penambahbaikan dari sudut PDRM dan pemahaman rakyat perlu dipertingkatkan daripada semasa ke semasa. 

Katanya, penipuan dalam talian tersebut melibatkan kes pinjaman tidak wujud, pelaburan, Macau scam, African scam, pembelian dalam talian dan kompromi e-mel perniagaan (BEC). 

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk tidak menjadi keldai akaun dan tidak membenarkan pihak lain menyalahgunakan akaun mereka untuk tujuan jenayah. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here