KUALA LUMPUR, 25 Dis — Bursa Malaysia menyaksikan 30 penyenaraian baharu pada 2019 berbanding 22 pada 2018, angka tertinggi sejak 2006 walaupun persekitaran operasi yang mencabar.

Daripada 30 penyenaraian baharu itu, empat disenarai di Pasaran Utama berbanding dua pada 2018, 11 di Pasaran Ace (sembilan pada 2018) dan 15 di Pasaran LEAP (11 pada 2018).

Mengulas mengenainya, Bursa Malaysia berkata aktiviti tawaran awam permulaan (IPO) Malaysia pada 2019, sihat, walaupun pasaran dalam kedudukan tidak menentu. Ini disebabkan asas ekonomi yang stabil, dan penyertaan pasaran yang seimbang dan pelbagai selain rangka kerja tadbir urus yang teguh.

“Syarikat masih mendapati IPO berdaya maju untuk mengumpul dana,” kata bursa kepada Bernama menerusi e-mel baru-baru ini.

Menurut Bursa Malaysia, dana yang dikumpul serta permodalan pasaran setakat ini tahun ini masing-masing sebanyak RM1.97 bilion dan RM7.92 bilion.

Mengenai prestasi pasaran, beliau berkata walaupun saham pasaran bermodal besar FBM KLCI berhadapan sentimen yang lemah, namun masih ada peluang dalam pasaran ekuiti tempatan secara menyeluruh, terutama saham bermodal kecil dan sederhana.

“Sehingga 18 Dis, 2019, Indeks Bermodal Kecil FBM dan Modal Sederhana FBM, masing-masing mencatatkan keuntungan 23.7 peratus dan 30.7 peratus setakat ini tahun ini,” katanya.

Mengenai penyertaan pelabur runcit, ia berkata sehingga akhir Oktober, jumlahnya sebanyak 26 peratus daripada Nilai Purata Harian (ADV), yang merupakan angka tertinggi sejak 2014.

“Tahun ini turut menyaksikan peningkatan sembilan peratus pelabur runcit baharu menyertai pasaran,” katanya.

Mengenai pemegangan asing, bursa tempatan kekal stabil dalam julat 22.3-24.4 peratus berbanding dekad lepas, walaupun berlaku pengaliran keluar dana, yang menunjukkan keyakinan jangka panjang pelabur institusi asing terhadap pasaran tempatan.

Oleh itu, ia menjangkakan unjuran aktiviti IPO Malaysia kekal positif pada 2020.

Mengenai dana dagangan bursa (ETF), Bursa Malaysia berkata terdapat enam ETF baharu yang disenaraikan di bursa tempatan pada 2019, menjadikan jumlah ETF tersenarai Bursa Malaysia meningkat kepada 16, berbanding 10 tahun lepas.

Enam ETF baharu itu terdiri daripada empat dana Leverage and Inverse (L & I) pertama Malaysia yang disenaraikan pada 29 Nov iaitu TradePlus NYSE® FANG+™ Daily (2x) Leveraged Tracker, TradePlus NYSE® FANG+™ Daily (-1x) Inverse Tracker, TradePlus HSCEI Daily (2x) Leveraged Tracker, dan TradePlus HSCEI Daily (-1x) Inverse Tracker, selain dua ETV konvensional.

Bursa tempatan berkata prestasi yang lebih baik itu disumbangkan oleh Garis Panduan ETF yang disemak semula oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, yang berkuat kuasa pada Januari tahun ini.

“Garis Panduan ETF yang disemak itu merupakan pencapaian baharu yang membolehkan produk ETF didagangkan secara lebih meluas di Bursa Malaysia untuk para pelabur yang mempunyai selera risiko yang berbeza-beza.

“Hasilnya, penyenaraian pertama ETF dibuat pada November 2019,” katanya, dan menjangkakan sekurang-kurangnya jumlah ETF baharu yang sama disenaarikan pada 2020.

Untuk masa hadapan, Bursa Malaysia berkata pasaran modal tempatan terus berkembang, dengan kecekapan pelabur terhadap produk pelaburan dijangkakan menjadi lebih canggih dan akhirnya, mereka akan mula menyaksikan ETF sebagai pilihan kos rendah yang baik untuk mempelbagaikan risiko dan pendapatan portfolio mereka.

“Rekod pulangan ETF, walaupun dalam kedudukan pasaran yang turun naik, sukar diketepikan oleh pelabur yang terus mencari jalan untuk memaksiumumkan pulangan pelaburan masing-masing.” katanya.

— BERNAMA  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here