Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming

KUALA LUMPUR, 5 Feb — Kerajaan ‘optimis secara berhati-hati’ mengenai unjuran pertumbuhan ekonomi 2020 dan bersedia untuk menangani keadaan novel koronavirus dengan sewajarnya, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming.

Beliau berkata keadaan adalah terkawal di Malaysia dan di seluruh dunia walaupun kes-kes baharu dicatatkan setiap hari.

“Kebanyakan mereka yang dimasukkan ke hospital disebabkan virus itu telah pulih dan dibenarkan pulang. Kadar kematian juga rendah. Dari segi ekonomi, kami melihat impak jangka pendek dan bukan jangka panjang,” katanya pada majlis makan malam CEO Tahun Baru Cina anjuran Enterprise Asia di sini malam ini.

Kerajaan mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.8 peratus pada 2020.

Ong berkata kerajaan bersedia untuk menggunakan pakej rangsangan bagi meningkatkan ekonomi tempatan berikutan kebimbangan mengenai koronavirus.

Semalam, Kabinet mengarahkan Kementerian Kewangan untuk menyediakan pakej rangsangan ekonomi berikutan penularan koronavirus.

Kementerian itu dijadualkan akan mengadakan perbincangan dengan kementerian yang berkaitan dan penggiat industri untuk menentukan keperluan pakej rangsangan itu.

Ong berkata kerajaan memperuntukkan RM5 bilion dalam tempoh lima tahun untuk menarik lebih banyak syarikat asing melabur di negara ini.

“Selain menarik pelaburan asing, kami turut memperuntukkan RM5 bilion lagi untuk tempoh lima tahun akan datang untuk meningkatkan syarikat tempatan yang mencari peluang eksport di peringkat global,” katanya.

Pada bulan lepas, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia mengumumkan negara mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM149 bilion untuk tempoh sembilan bulan pertama 2019.

Agensi itu menjangka jumlah pelaburan yang diluluskan bagi 2019 mengatasi angka pada 2018 sebanyak RM204.3 bilion.

— BERNAMA


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here