KOTA KINABALU, 6 Feb (Bernama) — Sabah tidak akan melanjutkan visa pelancong China yang terkandas di negeri itu susulan penularan wabak novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) di negara berkenaan, selepas tempoh visa selama seminggu yang diberikan sebelum ini tamat.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata walaupun kerajaan menggantung sementara semua penerbangan langsung dari China ke Sabah, namun pelancong China masih boleh menaiki penerbangan dari Sabah ke Kuala Lumpur untuk kembali ke China.

“Sekiranya kami melanjutkan (visa) sebulan lagi, mereka akan meminta tambahan satu tahun lagi. Tidak mudah bagi kita untuk memenuhi kehendak orang-orang (pelancong) ini jika sesuatu berlaku.

“Penyakit (2019-nCoV) boleh berjangkit dalam masa 12 hari dan jika ia tidak diuruskan dengan betul, kami tidak mempunyai keupayaan, berbeza dengan Semenanjung yang mempunyai banyak hospital dan pakar. Di sini kami mempunyai infrastruktur yang terhad untuk mengendalikannya,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking sempena perayaan Tahun Baru Cina, di sini malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong dan menteri-menteri kabinet.

Mohd Shafie berkata pelancong sememangnya perlu diberikan tempoh lanjutan tujuh hari, namun sebaik tamat tempoh, mereka perlu pulang ke negara asal dan terdapat penerbangan yang mencukupi sama ada menerusi AirAsia, Malaysia Airlines Bhd atau Malindo Air.

“Bagi pelajar (China) yang belajar di sini, kita sememangnya akan memastikan mereka berada dalam keadaan yang baik dan jika ada yang dijangkiti, mereka akan dikuarantin,” katanya.

Selasa lepas, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew selepas mengadakan mesyuarat khas berkata Jabatan Imigresen bersetuju membantu melanjutkan visa perjalanan selama tujuh hari selepas tamat tempoh asal kepada warga China yang terkandas di Sabah berikutan penggantungan sementara penerbangan langsung ke negara China.

Bagaimanapun, lanjutan tempoh visa berkenaan hanya bagi mereka yang tiba di Sabah sebelum 31 Jan tahun ini.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here