KUALA LUMPUR, 5 Jun — Kerajaan menawarkan pelbagai insentif cukai dan elaun pelaburan semula bagi menarik pelaburan langsung asing (FDI) dalam usaha merancakkan semula pertumbuhan ekonomi negara. 

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata insentif itu bertujuan menarik syarikat asing untuk memindahkan perniagaan mereka ke Malaysia. 

Beliau mengumumkan kadar cukai sifar peratus selama 10 tahun bagi pelaburan baharu dalam sektor pengilangan dengan pelaburan dalam harta tetap antara RM300 juta hingga RM500 juta dari 1 Julai hingga 31 Dis, 2020. 

Bagi pelaburan baharu dalam sektor pengilangan dengan pelaburan dalam harta tetap melebihi RM500 juta ke atas,  kadar cukai sifar akan diberikan selama 15 tahun, katanya semasa mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang disiarkan secara langsung hari ini. 

Muhyiddin berkata insentif akan diberikan sekiranya syarikat memindahkan lokasi dan memulakan operasi dalam tempoh satu tahun dari tarikh kelulusan dan amaun pelaburan yang terlibat mesti dibuat dalam tempoh tiga tahun.

“Bagi syarikat sedia ada di Malaysia yang memindahkan fasiliti pengilangan luar negara ke Malaysia, dengan modal pelaburan melebihi RM300 juta, mereka layak mendapat galakan elaun cukai pelaburan sebanyak 100 peratus bagi tempoh 5 tahun,” katanya.

Kerajaan juga akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti promosi dan pemasaran.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan menubuhkan Project Acceleration and Coordination Unit (PACU) (Unit Pemecut dan Penyelarasan Projek) bagi mempercepat pelaksanaan dan penyelarasan projek pelaburan yang diluluskan.

Bagi membantu syarikat untuk menaik taraf teknologi, menembusi pasaran global melalui penyumberan luar dan meningkatkan nilai eksport, Kerajaan bersetuju Dana Strategik Pelaburan Tempatan diberikan untuk pusingan kedua bagi projek dan syarikat yang sebelum ini telahpun layak menerima kemudahan tersebut.

Beliau berkata kelulusan lesen pembuatan juga akan dipercepatkan dalam masa dua hari bekerja untuk industri yang tidak sensitif.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here