PETALING JAYA, 21 Julai: Kerajaan mengumumkan tiada lagi orang dibenarkan menjalani kuarantin di rumah bermula Jumaat, sama ada warganegara atau warga asing.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata individu yang pulang ke tanah air diwajibkan menjalani kuarantin di institut latihan awam (ILA) atau hotel yang ditetapkan dan kos perlu ditanggung sendiri sepenuhnya.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersama Kementerian Kesihatan akan mengenal pasti serta mewartakan ILA atau hotel bersesuaian sebagai stesen kuarantin,” katanya pada sidang media hari ini.

Ismail berkata, susulan keputusan itu, warganegara yang pulang ke tanah air tidak lagi wajib menjalani ujian swab Covid-19 di negara asal 3 hari sebelum berlepas pulang.

Bagaimanapun, katanya, warga asing perlu menjalani ujian swab Covid-19 di negara asal 3 hari sebelum tarikh penerbangan.

Sebelum ini, rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan didapati negatif Covid-19 wajib menjalani kuarantin 14 hari di rumah, bukannya di pusat kuarantin lagi, bermula 10 Jun lalu.

Hari ini, Ismail berkata, peraturan itu ditarik balik kerana masih ada individu degil melanggar SOP kuarantin rumah yang mengundang risiko penularan tempatan.

Katanya, kerajaan memandang serius insiden ketidakpatuhan SOP kuarantin rumah yang menyebabkan penularan Covid-19 kepada ahli keluarga dan masyarakat sekeliling.

“Tindakan mereka amat tidak bertanggungjawab dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas, termasuk kompaun RM1,000 atau mendakwa di mahkamah dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 6 bulan.”

Semalam, penasihat khas kesihatan awam kepada perdana menteri, Dr Jemilah Mahmmod mengkritik perbuatan seorang wanita yang memakai gelang kuarantin rumah, minum di sebuah kafe di Perak.

Beliau mempersoalkan keluarga, kawan wanita itu serta pemilik kafe terbabit yang membenarkan beliau masuk dan tidak melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

Katanya, “individu sepertinya” akan menambah risiko berlaku gelombang ke-2 Covid-19 di Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here