KOTA BHARU, 29 Julai — Tiada hotel ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik COVID-19, sebaliknya rata-rata hotel di negeri ini masih beroperasi dan mengekalkan majoriti pekerja mereka.

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur Hafiz Hazin berkata hotel berkenaan melaksanakan inisiatif menjual makanan dalam talian terutama sepanjang beberapa bulan pertama PKP dilaksanakan.

“Dengan adanya inisiatif itu, sekurang-kurangnya pemilik kemudahan hotel masih mampu menjana pendapatan walaupun tidak menerima pengunjung sepanjang tempoh PKP yang lalu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Hafiz berkata selain itu, ketidakbergantungan kepada pelancong antarabangsa selama ini juga menjadi antara kelebihan kepada pengusaha hotel di negeri ini untuk kekal bertahan sehingga hari ini.

“Apabila kerajaan mula memberi kebenaran sektor pelancongan kembali beroperasi serta kebenaran rentas negeri, ia sekali gus melonjakkan semula sektor pelancongan khususnya perhotelan yang terjejas sebelum ini dengan Kelantan kembali menerima kedatangan pelancong domestik,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar H Elite Hotel Hamzah Rosli berkata pihaknya mengambil inisiatif melaksanakan jualan makanan dalam talian demi kelangsungan perniagaan untuk terus kekal bertahan ketika PKP dilaksanakan baru-baru ini.

Beliau berkata pelanggan mempunyai pilihan sama ada untuk mengambil sendiri tempahan makanan di hotel atau tempahan menerusi aplikasi penghantaran makanan.

“Dengan adanya pembelian dan tempahan di hujung jari ini, ia dapat menjana pendapatan hotel walaupun tidak menerima kunjungan pengunjung dalam tempoh PKP yang lalu, malah pihak kami juga mampu mencapai hasil jualan sehingga mencecah puluhan ribu ringgit dalam tempoh sebulan,” katanya.

Pengarah Royal Guest House, Raja Rusmin Raja Mahmud berkata selain inisiatif jualan makanan dalam talian yang menyumbang kepada pendapatan hotel sepanjang PKP lalu, pelbagai insentif yang diberikan oleh kerajaan Persekutuan turut mengurangkan beban majikan yang terjejas dengan penularan pandemik berkenaan.

Beliau berkata Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan kerajaan Persekutuan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) iaitu Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) dengan bantuan kewangan bernilai RM600 serta Program Subsidi Upah (PSU) turut membantu pengusaha hotel untuk kekal bertahan.

“Selain menjana pendapatan dengan jualan makanan dalam talian, dengan adanya pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan daripada kerajaan amat bermakna kepada pengusaha hotel seperti kami yang terjejas sepanjang PKP dalam usaha membendung penularan COVID-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here