SHAH ALAM, 4 Ogos — Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menggalakkan anak-anak syarikatnya supaya bersedia meneroka peluang perniagaan dalam pelbagai sektor bagi memulihkan prestasi kewangan masing-masing yang turut terkesan ekoran penularan wabak COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata ia berikutan kebanyakan perniagaan anak syarikat perbadanan itu adalah berkaitan sektor hartanah dan keadaan ekonomi semasa dilihat sedikit menjejaskan pendapatan dan keuntungan syarikat.

“Dalam situasi (ekonomi) ketika ini, kita tidak boleh lagi bergantung (hanya) kepada sektor hartanah. Disebabkan itulah PKNS sedang dalam proses untuk mengurangkan 60 peratus kebergantungan kepada sektor tersebut.

“PKNS ada 11 anak syarikat dan kebanyakannya terlibat dalam sektor hartanah. Disebabkan itu, kita kena memperbanyakkan penerokaan kepada pelbagai bidang perniagaan (bagi menjana semula pendapatan dan keuntungan),” katanya semasa berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Jasamu Dikenang PKNS 2020 di sini, hari ini.

Menurut Mohd Azizi, walaupun Kerajaan Negeri Selangor telah menyuntik RM30 juta dana pinjaman kepada PKNS untuk merancakkan kembali pengoperasian perbadanan itu, namun ia tidak boleh dijadikan ‘tempat bergantung’ sepenuhnya.

— LAGI

PKNS-TEROKA 2 (AKHIR) SHAH ALAM

“Selagi prestasi perniagaan kita tidak benar-benar pulih, selagi itu pinjaman yang disuntik ini tidak memberi makna. Jadi, semua warga PKNS harus bekerja bersungguh-sungguh dalam menghadapi masa depan yang disasar agak getir,” katanya.

Pada majlis berkenaan, seramai 138 menerima APC, 29 penerima anugerah berkhidmat lebih 20 tahun dan 21 pesara perbadanan itu turut diraikan bagi menghargai sumbangan, kesetiaan serta komitmen kerja mereka bersama PKNS.

Penyampaian APC dan anugerah lain disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya.

 Penerima APC PKNS membawa pulang sijil penghargaan dan cek bernilai RM1,000 setiap seorang sementara penerima Anugerah Perkhidmatan Lama dianugerahkan loket emas, Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) serta sijil penghargaan.

Bagi pesara PKNS pula, mereka menerima loket emas, SSP BSN, sijil penghargaan dan seutas jam tangan untuk pasangan masing-masing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here