KUALA LUMPUR, 24 Ogos: Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mendesak Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong menjelaskan penangguhan cadangan projek pembesaran lapangan terbang Pulau Pinang, yang diumumkan dalam Belanjawan 2020.

Lim meminta Wee menjelaskan sama ada projek itu akan berjalan seperti yang dijadualkan atau keputusan mengenainya hanya akan dibuat selepas 2023.

Wee sebelum ini berkata di Dewan Rakyat bahawa projek yang dicadangkan itu akan ditangguhkan, sementara menunggu hasil kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) yang dijangka selesai pada 2023.

Sebagai respons, Lim berkata keputusan penangguhan itu tidak adil kepada rakyat Pulau Pinang kerana lapangan terbang itu sudah melebihi kapasiti maksimumnya.

“Kalau nak tangguh sementara, jangan tangguh sehingga selepas 2023. Itu akan merugikan rakyat Pulau Pinang,” katanya pada sidang media, dengan menambah bahawa penangguhan sehingga ke tempoh itu boleh dianggap sebagai pembatalan projek terbabit.

Dalam pada itu, beliau juga mempersoalkan sama ada terdapat motif politik di sebalik penangguhan itu.

“Ini suatu tidak adil dan tidak munasabah kerana di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), projek itu sudah diluluskan,” katanya.

Katanya, projek itu akan dilaksanakan sepenuhnya oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kerana syarikat itu yakin ia akan menjana keuntungan.

Lim berkata, MAHB mengemukakan permohonan rancangan pengurusan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang, yang kemudiannya diluluskan pada Disember lalu.

Baru-baru ini kerajaan Pulau Pinang meminta cadangan untuk pembesaran lapangan terbang itu dikecualikan daripada kajian NASP yang dijalankan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata beliau memaklumkan permintaan itu kepada Wee pada mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) minggu lalu, dengan menambah bahawa Wee bersetuju untuk meneliti permintaannya.

Katanya, Wee sebelum ini berkata, sebarang cadangan pembangunan atau naik taraf lapangan terbang hanya akan dipertimbangkan selepas kajian NASP selesai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here