KUALA LUMPUR, 13 Sept — Terdapat cukup bukti kemudaratan yang serius akibat peningkatan import bagi memulakan suatu penyiasatan bagi penentuan langkah perlindungan mengenai keluaran jubin lantai dan dinding seramik ke dalam Malaysia bermula 13 Sept 2020, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Ini susulan petisyen yang diterima pada 16 Julai 2020 daripada Persekutuan Pengeluar-Kumpulan Industri Seramik Malaysia mewakili pengeluar tempatan bagi memulakan siasatan perlindungan global ke atas pengimportan keluaran jubin lantai dan dinding seramik ke Malaysia.

Pempetisyen mendakwa bahawa dari 2017 hingga 2019, pengimportan keluaran jubin lantai dan dinding seramik telah meningkat secara mutlak dan relatif kepada pengeluaran dalam negeri, sehingga mengakibatkan kemudaratan yang serius kepada industri dalam negeri di Malaysia yang mengeluarkan keluaran yang serupa.

Selaras dengan Akta Pelindung 2006 dan Peraturan yang berkaitan, suatu penentuan awal akan dibuat dalam tempoh 120 hari dari tarikh permulaan siasatan. 

“Sekiranya penentuan awal didapati afirmatif, kerajaan akan mengenakan duti pelindung sementara mengikut kadar yang ditetapkan bagi mengurangkan kesan kemudaratan yang serius terhadap industri dalam negeri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Sehubungan itu, MITI akan mengedarkan borang soal selidik kepada pihak berkepentingan seperti pengimport, pengeluar asing, pengeksport dan persatuan.

Pihak berkepentingan lain boleh mendapatkan borang soal selidik tersebut dengan memohon kepada MITI selewat-lewatnya pada 28 Sept 2020.

Pihak berkepentingan juga boleh memberi pandangan dan bukti tambahan bagi menyokong siasatan ini sebelum 13 Okt 2020.

Sekiranya tiada respon atau maklumat tambahan diterima dalam tempoh yang ditetapkan, kerajaan boleh membuat penentuan awal berdasarkan fakta sedia ada. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here