KUALA LUMPUR, 27 Sept — Kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri Sabah, diraikan dengan pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) saling memuat naik ucapan tahniah, menerusi media sosial mereka hari ini.

GRS terdiri daripada PN, BN, dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Mereka juga mengucapkan terima kasih kepada rakyat negeri di bawah bayu itu kerana melaksanakan hak dan tanggungjawab, sebagai pengundi.

Ketua Penerangan PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, mandat rakyat yang diperoleh itu membolehkan GRS membentuk kerajaan baru di Sabah.

“Amanah rakyat ini akan kami sama-sama pikul di bawah kepimpinan (Perdana Menteri) Tan Sri Muhyidin Yassin,” kata Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industrid dalam catatan Twitter beliau.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam catatan di laman Facebook beliau pula, mengucapkan terima kasih kepada pengundi atas kepercayaan yang diberikan kepada GRS.

Pada masa sama, beliau mengingatkan wakil rakyat yang dipilih supaya menunaikan tanggungjawab dengan sebaiknya, demi kemaslahatan agama, bangsa dan negara.

“Insya-Allah, PAS akan turut menyumbang dalam usaha memperkukuhkan perpaduan dan membela kebajikan rakyat secara bersama,” katanya.

Presiden MCA Wee Ka Siong juga mengucapkan tahniah kepada GRS yang menerima mandat baharu daripada rakyat Sabah, untuk membentuk kerajaan.

“Syabas kepada semua calon GRS terdiri daripada BN, PN dan PBS yang menang dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 ini,” kata Wee yang juga Menteri Pengangkutan dalam laman Facebook beliau.

Beliau berkata, walaupun keputusan PRN Sabah kali ini tidak memihak kepada MCA, parti itu akan mengambil langkah untuk mengatasi kelemahan yang ada.

“MCA akan menjalankan ‘post-mortem’ dan bertekad memperbaiki segala kekurangan,” katanya sambil menyampaikan penghargaan kepada jentera MCA yang turut bertungkus-lumus berkempen di empat kawasan DUN yang ditandingi calon-calon MCA.

Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kemenangan GRS pada pilihan raya negeri itu adalah cukup bermakna.

“Insya-Allah, ia @barisanasional akan manfaatkan sepenuhnya demi membalas kepercayaan seluruh rakyat Sabah. Alhamdulillah. Terima kasih semua. #RaduTatapRadu! #PRNSabah,” katanya dalam catatan di laman Twitter beliau.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu berkata, kemenangan GRS membuktikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Armada Bersatu Sabah Fairuz Renddan yang memenangi kerusi DUN Pintasan.

GRS memenangi 38 kerusi daripada 73 kerusi DUN yang dipertandingkan pada pilihan raya negeri itu. PN memperoleh 17 kerusi, BN (14 kerusi) manakala PBS (tujuh kerusi).  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here