PETALING JAYA, 12 Okt: Kerajaan sedang membuat persiapan merujuk kes kecemasan bukan Covid-19 ke hospital swasta untuk mengosongkan katil di hospital awam dan menangani peningkatan jangkitan di dalam negara.

Difahamkan, kebanyakan hospital swasta di dalam negara sudah dimaklumkan dan pegawai di Putrajaya sedang memuktamadkan proses rujukan.

FMT sedang menunggu respons daripada Kementerian Kesihatan.

Dr Kuljit Singh, presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, berkata pemberitahuan itu diterima sebulan lalu dan pengurusan hospital sedang menunggu kemas kini daripada kerajaan.

Katanya, pesakit hanya akan dirujuk untuk mendapatkan rawatan selepas penilaian doktor kerajaan. Rujukan bergantung kepada keadaan pesakit dan syarat serta terma akhir.

“Orang ramai tidak patut fikir mereka akan dirujuk ke hospital swasta secara automatik. Doktor hospital kerajaan dan swasta akan berkomunikasi serta bersetuju, kemudian pesakit akan dipindahkan,” katanya kepada FMT.

Berdasarkan mesyuarat terdahulu dengan pegawai kerajaan, Kuljit berkata, kerajaan bersetuju membayar hospital swasta berdasarkan jumlah ditetapkan.

“Semuanya berdasarkan kes berasingan. Ini akan membantu kerajaan menangani (jumlah) pesakit, tetapi semuanya berdasarkan perbincangan itu.”

Jangkitan Covid-19 meningkat sejak sebulan lalu dengan penularan besar-besaran berlaku di 2 penjara dan kluster baru dikesan dalam kalangan individu yang mengunjungi Sabah bulan lalu.

Hampir 300 sekolah di Selangor diarahkan tutup mulai semalam sehingga 25 Okt ini, serta 10 sekolah di Perak dan Kedah.

Jangkitan turut dilaporkan berlaku dalam kalangan pekerja beberapa pusat beli-belah di Lembah Klang, yang dijangkiti virus itu daripada orang lain.

Sabah, Kedah dan Selangor kekal sebagai negeri paling teruk terjejas.

Sabtu lalu, Kementerian Kesihatan dilaporkan berkata, ia meningkatkan kapasiti perkhidmatan perubatan di Sabah dengan menubuhkan 6 lagi pusat rawatan dan kuarantin buat pesakit berisiko rendah di negeri itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here