BERA, 27 April – Kerajaan Pahang merancang untuk mewujudkan zon perindustrian di kesemua 11 daerah di negeri ini bagi menggalakkan kemasukan lebih banyak pelaburan asing khususnya dari China. 

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pembangunan zon di daerah akan memberikan kepelbagaian pilihan kepada pelabur asing daripada berbagai-bagai sektor, yang tidak hanya tertumpu di Kuantan.

“(Dalam lawatan rasmi ke China baru-baru ini), kita telah berjumpa dengan pelabur-pelabur dan memaklumkan bahawa semua daerah akan diwujudkan zon industri serta menyatakan infrastruktur negeri ini (dalam proses menaik taraf) akan bertambah baik menjelang awal 2027 apabila Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) siap sepenuhnya. 

“Selain itu, turut dimaklumkan bahawa Kuantan Port (akan) dikembangkan dan ini akan memudahkan penghantaran produk untuk eksport dan import,” katanya pada sidang media program Moh Karnival Makmur Tahun 2024 Peringkat Daerah Bera di sini hari ini. 

Wan Rosdy berkata demikian ketika diminta mengulas tentang lawatan rasmi beliau ke China baru-baru ini dalam mengukuhkan lagi hubungan pelaburan dan perdagangan antara Pahang dan China pada masa akan datang. 

Beliau berkata maklum balas positif diterima hasil daripada pertemuan berkenaan apabila semua pelabur yang menghadiri mesyuarat di negara itu menunjukkan minat untuk melabur di Pahang, bagaimanapun kerajaan negeri akan mengkaji dahulu permohonan terbabit sebelum meluluskannya. 

“Kita tidak terima secara pukal atau total kerana perlu kaji dulu. Bagaimanapun, kita galakkan mereka untuk datang melabur dan insentif yang ada, akan kita kekalkan sepertimana sebelum ini.

“Dalam mesyuarat itu juga, kita membangkitkan sekurang-kurangnya syarat yang perlu dipatuhi (pelabur) adalah (menggajikan) 80 peratus pekerja tempatan. Peringkat awal tidak mengapa, mungkin 60 peratus tetapi akhirnya (perlu) 80 peratus dan mereka bersetuju dengan ketetapan tersebut,” katanya. 

Setakat 2022, Pahang telah berjaya menarik RM11.01 bilion pelaburan langsung asing (FDI) dengan RM5.6 bilion daripadanya dari China. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here