KOTA BHARU, 14 Nov — Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan menerima peruntukan RM1.4 juta daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, bagi membuat persediaan dan memastikan bekalan kepada mangsa-mangsa banjir mencukupi.

Timbalan Pengarah JKM Kelantan Siti Nor Hasma Mat Isa berkata sehingga kini kesemua keperluan sudah dihantar ke 159 pangkalan hadapan, sebagai persediaan awal sekiranya berlaku banjir.

Beliau berkata JKM juga sudah menyediakan segala persiapan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sebagaimana yang telah diputuskan di dalam mesyuarat dan ia sudah dilawati semua agensi terlibat dalam pengurusan bencana.

“Sebenarnya, sejak Oktober lalu kita sudah menghantar bekalan ke pangkalan hadapan dan pengagihan kepada ke semua jajahan.

“Kita juga turut mempunyai 17 stor simpanan bekalan keperluan bencana dan stor di Kemumin adalah yang terbesar dan sekiranya diperlukan boleh juga membantu negeri-negeri Pantai Timur,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Depoh JKM Kemumin, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Menurutnya, antara keperluan yang biasa disediakan khususnya di pangkalan hadapan termasuklah bekalan makanan seperti beras, minyak masak dan makanan dalam tin.

Katanya, seramai 328 kakitangan JKM di seluruh negeri sudah bersedia untuk menghadapi musim banjir kali ini dan yakin semuanya dapat ditangani dengan sebaik mungkin.

“Mengenai jumlah PPS sekarang kita sudah menyediakan sebanyak 539 tempat berbanding 609 pada tahun lepas. Bagaimanapun, dengan penjarakan fizikal yang ditetapkan mengikut prosedur operasi standard (SOP), kemungkinan akan ada perubahan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here