KUALA LUMPUR, 26 Nov — Jumlah nilai eksport minyak sawit Malaysia ke pasaran global akan terkesan sekiranya Malaysia tidak lagi mengeksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit ke Kesatuan Eropah (EU), kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata ini berikutan EU merupakan pasaran kedua terbesar minyak sawit Malaysia selepas China dengan jumlah eksport minyak sawit ke EU berjumlah 2.8 juta tan.

“Daripada jumlah ini, nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit ke EU adalah RM8.5 bilion berbanding RM8 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2019,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Khairuddin berkata kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan lagi jumlah eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit dengan meneroka pasaran baharu yang merupakan pengimport bersih minyak dan lemak.

Katanya, pasaran ini turut menunjukkan permintaan memberangsangkan terhadap produk minyak sawit sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.

“Negara-negara tersebut adalah Asia Tengah (Uzbekistan, Kazakhstan, Turkmenistan dan Kyrgystan); Eropah (Bosnia & Herzegovina, Croatia, Romania dan Montenegro); Afrika (Mauritania, Congo, Madagascar dan Kenya); Timur Tengah dan Asia Barat (Algeria, Maghribi, Yemen dan Libya) dan Amerika (Haiti, Jamaica dan Kepulauan Caribbean),” katanya.

Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata Kementerian Kewangan melalui Belanjawan 2021 telah mengumumkan peruntukan bagi menangani Kempen Anti Minyak Sawit yang berjumlah RM20 juta.

“Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) percaya pengurangan peruntukan ini adalah selaras dengan penjimatan kos daripada misi-misi luar negara dan sesi libat urus secara fizikal yang tidak mungkin dapat dilaksanakan ekoran COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

“Sehubungan itu, KPPK akan terus melaksanakan usaha promosi bagi meningkatkan kebolehpasaran produk sawit secara maya dan melalui kerjasama antara kerajaan yang berkaitan.

“Saya yakin bahawa peruntukan sebanyak ini akan dapat melaksanakan strategi advokasi yang mampu menangani kebimbangan yang diutarakan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here