KUALA LUMPUR, 22 Dis — Kerajaan mempunyai perancangan untuk meningkatkan pendapatan dan kuasa beli serta kesejahteraan isi rumah golongan B40 melalui beberapa pendekatan, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Arthur Joseph Kurup berkata antara langkah itu ialah menyediakan program peningkatan pendapatan serta peningkatan keupayaan mendapat pekerjaan yang berpendapatan lebih tinggi dengan membina kapasiti dan keupayaan seperti Program Pemerkasaan Ekonomi Bandar.

“Selain itu, kerajaan juga menambahbaik akses kepada keperluan asas termasuk pendidikan, kesihatan dan perumahan seperti Program Perumahan Rakyat Termiskin, Program Bantuan Rumah dan Projek Perumahan Mampu Milik,” katanya menjawab soalan Senator Dr Nuing Jeluing.

Nuing ingin tahu mengenai penyusunan semula pendapatan garis kemiskinan, isi rumah yang terlibat dan langkah yang diambil untuk mengatasi kemiskinan ini.

Arthur berkata, kerajaan turut menambahbaik akses kepada keperluan asas termasuk pendidikan, kesihatan dan perumahan seperti Program Perumahan Rakyat Termiskin, Program Bantuan Rumah dan Projek Perumahan Mampu Milik.

“Malah, kerajaan turut menggalakkan keusahawanan dan akses kepada pembiayaan kewangan untuk menjana pendapatan dengan menceburi bidang perniagaan seperti pembiayaan mikro contohnya TEKUN dan program latihan keusahawanan,” katanya.

Menurut Arthur, melangkah ke hadapan, kerajaan juga sedang menggubal dasar dan strategi untuk menangani kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12). 

Sehubungan itu, katanya, bagi menangani kemiskinan dan meningkatkan mekanisme penyampaian perkhidmatan di peringkat akar umbi, kerajaan akan memperkukuh pendekatan dari bawah ke atas dalam kalangan pemegang taruh.

“Justeru, pendekatan ini akan dipertingkat dengan penglibatan masyarakat dan organisasi berasaskan komuniti. Pihak berkuasa juga akan diperkasa untuk mengenal pasti dan mengurangkan poket kemiskinan pada peringkat komuniti,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan penemuan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang baharu di peringkat nasional adalah RM2,208 sebulan.

Dengan menggunakan PGK 2019, kadar kemiskinan mutlak adalah 5.6 peratus meliputi 405,441 isi rumah pada 2019 berbanding 7.6 peratus melibatkan 525,743 isi rumah pada 2016.

Menjawab soalan tambahan senator yang sama berhubung perancangan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan dan membasmi kemiskinan khususnya bagi Sabah dan Sarawak, Arthur berkata, antara inisiatif itu ialah meningkatkan pengambilan pelajar berpotensi untuk kemasukan ke sekolah berprestasi tinggi dan institut latihan serta memupuk keusahawanan dengan fokus kepada kemahiran berdasarkan bakat intrinsik.

Katanya, dalam RMKe-12 yang akan dibentangkan pada tahun depan, satu bab khusus mengenai perancangan pembangunan di Sabah dan Sarawak sedang dirangka sekali gus membuktikan kerajaan sangat komited dalam melaksanakan perancangan pembangunan bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk di kedua-dua negeri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here