KUALA LUMPUR,23 Dis: Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 yang dilancarkan hari ini bermatlamat menjamin kelangsungan industri pelancongan negara susulan pandemik Covid-19, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau yakin DPN yang memperuntukan zon pelaburan untuk projek pelancongan akan kembali menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terpilih di peringkat global.

Berucap melancarkan DPN secara dalam talian, Muhyiddin berkata matlamat itu akan dicapai melalui pendekatan utama yang merangkumi pengukuhan daya saing, pembangunan sektor pelancongan secara lestari dan inklusif, serta kesediaan mengharungi bencana pada masa akan datang.

Katanya dasar berkenaan akan dilaksanakan menerusi enam teras strategik utama, iaitu transformasi tadbir urus, mewujudkan zon pelaburan pelancongan yang inklusif dan menggiatkan digitalisasi pelancongan.

Teras lain kata perdana menteri, ialah memperkaya pengalaman dan kepuasan pelancong, memperkukuh komitmen terhadap pelancongan lestari, dan meningkatkan kapasiti modal insan dalam semua subsektor pelancongan.

Muhyiddin berkata kerajaan sedar negara memerlukan hala tuju yang dinamik dan strategik dalam memulihkan semula industri pelancongan.

“Sehubungan itu, pembangunan industri pelancongan yang berasaskan teknologi digital adalah penting bagi memastikan objektif dasar ini dapat dicapai.

“Tambahan pula, kemajuan teknologi juga dapat mengukuhkan jaringan antara industri serta membuka jalan bagi subsektor inovatif baharu dalam industri pelancongan yang akan mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan. Dengan ini, pelaburan pelancongan yang berpusatkan teknologi adalah digalakkan,” katanya.

Beliau berkata melalui DPN, Malaysia akan mewujudkan zon pelaburan untuk projek pelancongan atau Special Tourism Investment Zones bagi meningkatkan kerjasama awam-swasta serta menarik lebih ramai pelabur tempatan dan antarabangsa.

Tegasnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga komited untuk mengimbangi pembangunan serta pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah negara termasuk alam sekitar, budaya dan warisan.

“Matlamat kita ialah untuk menjenamakan Malaysia sebagai Top of Mind Ecotourism Destination of the World. Saya juga yakin kelestarian sumber boleh memacu pertumbuhan ekonomi baharu di samping mewujudkan peluang pekerjaan,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here