BUKIT MERTAJAM, 8 Jan — Semua sektor terutama ekonomi dan industri di Pulau Pinang diminta bersiap sedia merangka langkah-langkah yang perlu bagi menghadapi kemungkinan jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula, dalam membendung penularan wabak COVID-19.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata ketika ini kerajaan negeri hanya menunggu keputusan oleh Kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan PKP itu, sama ada ia dilaksanakan di seluruh negara atau membabitkan negeri berstatus zon merah sahaja.

“Saya difahamkan, Kerajaan Persekutuan akan mengadakan sesi libat urus dengan wakil-wakil sektor ekonomi dan industri untuk menerima maklum balas berhubung kesan dihadapi sekiranya PKP di laksanakan semula.

“Bagi negeri Pulau Pinang, ia tertakluk kepada berapa ketat syarat-syarat PKP atau kelonggaran yang diberikan kepada sektor-sektor tertentu ketika pelaksanaan PKP itu,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan upacara angkat sumpah penerimaan jawatan 24 Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dekat Menara Bandaraya, di sini hari ini.

Katanya pengalaman pelaksanaan PKP lepas banyak mengajar kerajaan negeri kerana setiap sektor akan menerima impak yang berlainan bergantung kepada jenis perniagaan, operasi dan sebagainya.

Sementara itu, katanya Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika ini memberikan tumpuan kepada persiapan untuk menyediakan pusat kuarantin risiko rendah bagi menghadapi peningkatan kes COVID-19 memandangkan saringan ke atas pekerja-pekerja asing sedang giat dijalankan.

Katanya pihaknya juga masih menunggu keputusan daripada Kerajaan Persekutuan berhubung cadangan beberapa buah pusat kuarantin risiko rendah yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini.

“Ada dua atau tiga pusat kuarantin dicadangkan tertakluk kepada kesesuaian kerana apa yang kita kemukakan adalah tertakluk kepada penilaian Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan selain itu, Kerajaan Negeri juga membuat permohonan peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk kita mengendalikan pusat-pusat kuarantin sekiranya diluluskan kelak,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan agar PKP bersasar dilaksanakan bagi mengatasi tekanan pada sistem penjagaan kesihatan ekoran peningkatan mendadak jumlah kes COVID-19, semalam Pulau Pinang mencatatkan sebanyak 111 kes baru dengan semua daerah di negeri itu merupakan zon merah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here