GEORGE TOWN, 10 Feb — Kerajaan negeri Pulau Pinang telah menerima permohonan daripada beberapa hotel yang berminat untuk dijadikan sebagai pusat kuarantin dan rawatan COVID-19 berisiko rendah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Yeoh Soon Hin berkata penularan global virus itu telah memberi kesan kepada sektor pelancongan, menyaksikan industri hotel yang menanggung kos operasi besar bergelut untuk mengekalkan operasi mereka.

“Negara lain seperti Thailand telah melaksanakan kaedah sama dengan menukar hotel mereka sebagai pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah untuk mengurangkan kekurangan kapasiti semasa, di samping memastikan operasi hotel berjalan.

“Kerajaan negeri telah menyampaikan perkara ini kepada Majlis Keselamatan dan  Jabatan Kesihatan Pulau Pinang dan sedang menunggu maklumat terkini daripada pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Yeoh berkata hotel yang berminat untuk menawarkan tempat tinggal sementara bagi pekerja juga boleh mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Inisiatif ini adalah untuk memutuskan rangkaian penularan virus di tempat kerja, terutama di asrama pekerja dan juga membantu hotel-hotel yang terjejas akibat pandemik itu,” katanya.

Yeoh, bagaimanapun mengingatkan bahawa hotel-hotel ini akan diminta untuk mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Hotel yang berminat yang berdaftar dengan MOTAC boleh menghantar e-mel ke inisiatifhotel@motac.gov.my sementara hotel yang tidak berdaftar dengan MOTAC boleh melayari www.spip.gov.my untuk mendaftar,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here