KUALA LUMPUR, 19 Feb — Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) hari ini mengumumkan pemenang reka bentuk bagi stesen Bukit Chagar Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) Johor Bahru-Singapura pada satu sidang media yang berlangsung secara maya.

Rekaan berbentuk futuristik itu merupakan pemenang hadiah utama bagi pertandingan anjuran Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) dan MRT Corp yang diilhamkan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Rekaan bertajuk ‘The Integration of Two’ yang menjadikan hubungan sejarah serta perkaitan antara Johor Bahru dan Singapura telah dikemukakan Chin Yee Chong daripada SM Architects Sdn Bhd, yang membawa pulang wang hadiah sebanyak RM250,000.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim berkata rekaan itu telah dipilih sebagai pemenang oleh Sultan Iskandar, yang merupakan penaung pertandingan tersebut serta pengerusi panel juri pertandingan berdasarkan kekuatan simbolismenya.

“Rekaan futuristik ini mampu menggambarkan hubungan yang terjalin antara Johor Bahru dengan Singapura dan stesen ini bukan sahaja menjadi mercu tanda ikonik di Johor Bahru malah merupakan antara stesen kereta api yang terunggul di dunia,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata kemenangan yang diraih SM Architect juga amat bermakna kerana ia merupakan sebuah firma yang berpangkalan di Johor Bahru dan pasukan itu turut membabitkan arkitek lulusan universiti tempatan.

Presiden PAM Datuk Ezumi Harzani Ismail pula berkata pertandingan itu memberi peluang kepada arkitek di Malaysia menonjolkan bakat dan kebolehan masing-masing dalam menghasilkan reka bentuk bagi bangunan yang mencabar serta kompleks.

Menurut kenyataan itu, RTS Link bakal menghubungkan Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dan Stesen Woodlands Utara di Woodlands, Singapura serta dijadualkan memulakan operasi pada akhir 2026.

Sejumlah 91 penyertaan diterima sebelum pertandingan itu berakhir pada 25 Jan dan 10 rekaan telah disenarai pendek untuk penilaian akhir pada 8 Feb lepas yang turut menyaksikan kehadiran Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Menteri Besar Johor Datuk Haji Hasni Mohammad. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here