PETALING JAYA: Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman Said berkata, tiada guna mempunyai lebih ramai ahli politik wanita jika mereka tidak memperjuangkan isu menjejaskan wanita.

Katanya, ahli politik wanita perlu mempunyai “kompas moral” dan menekan parti mereka untuk memahami isu dihadapi golongan hawa.

“Sangat penting untuk wanita percaya mereka boleh membuat perubahan. Bukan hanya untuk parti politik mereka, tetapi hakikat mereka mewakili semua wanita di luar sana,” katanya pada webinar bertajuk “Hari Wanita Antarabangsa 2021: Wanita dalam Kepimpinan: Mencapai masa depan sama rata dalam dunia Covid-19”.

“Tiada gunanya wanita menawarkan diri (sebagai wakil rakyat) apabila mereka tidak mahu bersuara mengenai isu sensitif,” katanya sambil menambah jika kenyataan sensitif dibuat terhadap wanita, ahli politik wanita perlu berani menentang kenyataan sedemikian.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, pembuat dasar dalam kerajaan perlu menerima yang dasar mereka masih mundur dan Hari Wanita Antarabangsa tidak patut hanya menjadi sambutan sehari.

“Kerajaan tidak lagi tahu semuanya. Penyertaan masyarakat dan rakyat adalah perlu.”

Azalina berkata, beliau teruja dengan peningkatan jumlah wanita menceburi bidang politik kerana terdapat pelbagai parti politik di dalam negara untuk disertai mereka.

Beliau berharap penurunan had umur pengundi dan calon pilihan raya kepada 18 tahun akan menggalakkan lebih ramai wanita muda menyertai politik secara langsung atau tidak langsung.

Rang undang-undang Undi 18, yang dikenali sebagai RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019, diluluskan Dewan Negara pada Julai 2019. Pindaan itu menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here