PETALING JAYA,15 Mac: Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Loke Siew Fook menafikan dakwaan dibuat segelintir pemimpin parti berkenaan berkaitan “pengundi hantu”, yang menurutnya tidak berasas sama sekali.

Beliau turut menyatakan kekesalannya tentang kekecohan yang berlaku sewaktu Konvensyen DAP Perak ke-19 semalam akibat dakwaan tersebut.

“Perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku dalam mana-mana persidangan parti DAP,” kata beliau dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Terdahulu, timbul sedikit kekecohan sewaktu Konvensyen DAP Perak ke-19 susulan dakwaan wujudnya pengundi hantu yang akan memilih ahli ke jawatankuasa negeri dan isu tempoh pengundian tiba-tiba dilanjutkan.

Kekecohan itu berlaku sebaik saja Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng selesai berucap merasmikan konvensyen tersebut yang dihadiri kira-kira 2,000 perwakilan dan ahli DAP negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh.

Menurut Loke dalam kenyataannya, semua proses pemilihan kepemimpinan parti DAP di semua peringkat sentiasa dijalankan dengan telus tanpa memihak kepada mana-mana individu.

“Justeru itu, dakwaan berkenaan “pengundi hantu” (phantoms voters) adalah tidak berasas sama sekali.

“Senarai perwakilan untuk Konvensyen Biasa Negeri adalah disahkan oleh Bahagian Organisasi, Ibu Pejabat Kebangsaan DAP,” jelas beliau.

Kata Loke, setiap wakil yang layak hadir ke konvensyen negeri berhak mengundi selagi proses pengundian belum ditutup oleh pengurus pilihanraya, lazimnya pemimpin dari negeri lain yang dilantik Ibu Pejabat Kebangsaan DAP.

Sebagai setiausaha organisasi kebangsaan, Loke berkata, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan segala proses pemilihan di mesyuarat agung tahunan cawangan, konvensyen negeri dan kongres kebangsaan parti dijalankan dengan penuh integriti.

“Saya menyeru setiap anggota parti untuk menghormati proses pemilihan parti dan menerima sebarang keputusan pemilihan dengan hati yang terbuka.

“Setiap ahli DAP juga perlu sentiasa menjunjung perlembagaan parti yang menjadi asas kepada perjalanan dan fungsi parti,” kata beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here