KUALA LUMPUR, 7 April — Setiap kali hujan, penduduk di 1,200 unit perumahan awam (PA) Loke Yew dan Hang Tuah di sini dihimpit kebimbangan berikutan keadaan dinding kayu rumah mereka yang telah uzur dan kian reput dimamah anai-anai.

Lebih menggusarkan apabila berlaku ribut dan angin kencang, rumah mereka ‘banjir’ akibat tempias air hujan menerobos masuk menerusi celahan dinding rumah yang telah berusia hampir 70 tahun itu.

Seorang penduduk di perumahan berkenaan, Mohd Ismail Abdullah, 57, menyuarakan kerisauan dengan keadaan serta keselamatan penduduk kerana dinding-dinding reput itu bagaikan ‘jerangkap samar’ yang pada bila-bila masa boleh tercabut dan menghempap orang ramai lalu lalang di kawasan tersebut.

“PA Loke Yew dibina pada 1968, manakala PA Hang Tuah sendiri pada 1969, jadi memang kebanyakan dinding rumah penduduk telah uzur. Ada kayu dinding yang sudah longgar dan menunggu masa sahaja untuk tercabut,” katanya kepada Bernama ketika melakukan tinjauan baru-baru ini.

Seorang lagi penduduk, Mohd Azmi Zakaria, 57, berkata demi keselamatan ada segelintir penduduk mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi menggantikan dinding kayu yang sudah reput itu dengan bahan lebih kukuh seperti batu-bata.

“Saya minta pihak yang berkenaan supaya menggantikan segera dinding kayu ini kerana khuatir sekiranya tidak berhati-hati ia boleh membahayakan nyawa penghuni seperti kanak-kanak,” katanya yang telah menetap di situ sejak 1995.

Untuk rekod, dinding kayu tiga rumah pangsapuri awam Loke Yew di tingkat 10, 13 dan 18 pernah tercabut akibat angin kencang pada Oktober 2014, namun tiada kemalangan jiwa berlaku kerana tiada penghuni ketika kejadian.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah ketika ditemui Bernama berkata pihaknya telah menugaskan pegawai pelawat Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar (JPKKB) untuk menyelenggara blok tersebut bagi memastikan sebarang kerosakan diambil tindakan segera.

“Jika ada dinding kayu yang sudah mereput dan perlu diganti, minta laporkan kepada kami dan kontraktor DBKL akan segera membaik pulih,” katanya.

Pada Disember tahun lepas, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa mengumumkan kementerian itu akan melaksanakan Program Pembaharuan Bandar di semua rumah pangsa yang mencecah usia 40 tahun, termasuk rumah pangsa persendirian dibangunkan pemaju swasta.

Beliau berkata unit kediaman rumah pangsa yang tidak sesuai diduduki, bersaiz kecil dan struktur lama akan dibina semula dengan pelbagai kemudahan dan kelengkapan sesuai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here