VIENTIANNE, 4 Mei  — Pasukan pakar perubatan China tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay, di sini, petang Selasa bagi membantu Laos memerangi wabak COVID-19.

Ketibaan mereka disambut Naib Perdana Menteri, Kikeo Khaykhamphithoune dan Duta China, Jiang Zaidong.

Kikeo menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kerajaan China yang sekali lagi menyegerakan bantuan peralatan perubatan selain menghantar sekumpulan pakar.

Menurut beliau, ia menggambarkan keprihatinan berterusan China terhadap rakyat dan negara Laos.

Kikeo yakin kehadiran pakar China itu mampu membantu pihaknya mengekang penularan wabak.

Difahamkan, seramai 25 pakar dalam bidang epidemiologi, disinfeksi, ujian makmal, kawalan infeksi dan rawatan rapi dihantar bagi membantu Laos menyusun pelan rawatan pesakit COVID-19 serta langkah-langkah pencegahan dan kawalan wabak.

Sejak April, kes penularan tempatan meningkat mendadak di Laos, sekali gus memberikan cabaran kepada sistem penjagaan kesihatan.

Kerajaan turut mengumumkan pelaksanaan sekatan pergerakan membabitkan 18 wilayah di seluruh Laos.

Setakat 12 tengah hari Selasa, angka jangkitan COVID-19 di negara itu mencecah 1,026 kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here