Peguam V Vemal Arasan mewakili Tran Thi Thoai Trin dari Vietnam dan Simon Adavize Momoh dari Nigeria, yang ditahan polis.

Kuala Lumpur , 7 Mei (FMT) — Seorang peguam yang membantu pembebasan dua warga asing baru-baru ini menyambut baik keputusan Ketua Polis Negara untuk menghentikan pemeriksaan rambang terhadap pendatang.

V Vemal Arasan berkata pihak berkuasa perlu segera berhenti menahan orang asing semata-mata untuk “mengesahkan” dokumen mereka, terutama ketika mereka memiliki dokumen yang sah.

“Hanya perlu beberapa minit saja untuk mengesahkan perinciannya dengan pihak imigresen, bukan dua minggu,” katanya kepada FMT.

Vemal sebelum ini mewakili Tran Thi Thoai Trin dari Vietnam dan Simon Adavize Momoh dari Nigeria, yang ditahan untuk jangka masa yang panjang.

Katanya, ketika undang-undang berkait pemeriksaan seperti itu diluluskan, semuanya perlu disahkan secara manual. Tetapi kini, proses itu adalah automatik.

“Sebenarnya, menjadi kewajiban kerajaan untuk membuat pindaan yang diperlukan terhadap Undang-Undang Imigresen supaya penyalahgunaan kuasa tidak berlaku,” katanya.

Semalam, KPN baharu Acryl Sani Abdullah berkata dia akan mengeluarkan arahan untuk menegah pegawai dan anggota polis daripada melakukan pemeriksaan rambang terhadap orang asing “tanpa alasan yang munasabah atau sah”.

Ini, katanya, bertujuan mencegah segelintir pegawai dan anggota polis dari menyalahgunakan kuasa mereka sesuka hati.

“Selain itu, polis tidak boleh sesuka hati menahan mereka, atau direman selama dua minggu, dengan alasan untuk mengesahkan sama ada pasport atau dokumen yang dicap oleh Jabatan Imigresen adalah tulen atau sebaliknya,” kata Bernama.

Tran, yang berkahwin dengan rakyat Malaysia dan mempunyai anak lelaki, ditahan selama 11 hari untuk membolehkan pihak berkuasa mengesahkan dokumennya setelah dia gagal menggunakan aplikasi MySejahtera untuk mendaftar masuk di sebuah restoran.

Wanita berusia 25 tahun itu dibebaskan setelah mengaku bersalah di mahkamah majistret Klang dan membayar denda RM350.

Momoh ditahan di depot imigresen Semenyih selama 40 hari setelah ditangkap kerana memandu dalam keadaan mabuk pada bulan Mac. Momoh, yang berkahwin dengan rakyat Malaysia dan mempunyai dua anak, dibebaskan pada 23 April.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here