KOTA BHARU, 30 Mei — Tiga lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) akan dibuka di Kelantan berikutan lonjakan kes baharu harian COVID-19 yang ketara sejak beberapa hari lepas.

Pengarah PKRC Kelantan Dr Mohd Azman Yacob berkata keperluan mendesak untuk membuka PKRC baharu ketika ini adalah bagi menampung peningkatan peratusan penggunaan katil di PKRC sedia ada yang semakin meningkat.

Menurutnya PKRC yang ke-13 di Kelantan, yakni PKRC Institut Latihan Perindustrian (ILP), Pengkalan Chepa yang boleh menempatkan 300 pesakit, telah mula beroperasi hari ini, dan kini pihaknya sedang meninjau lokasi yang dirasakan paling sesuai untuk pembukaan PKRC baharu di kawasan jajahan Machang, Pasir Puteh serta Kuala Krai.

“Kita tidak mahu PKRC baharu dibuka di lokasi terlalu jauh, seperti di Gua Musang misalnya, kerana ia hanya akan tertumpu untuk orang (pesakit) Gua Musang sahaja. Apabila kita buka di jajahan berdekatan Kota Bharu, kita akan dapat tempatkan juga pesakit-pesakit dari sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media hari ini, selepas melawat PKRC Dewan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Kelantan (JKKN) di Tanjong Chat, di sini, yang memuatkan 220 katil bertingkat termasuk 70 katil bagi pesakit kategori tiga.

Di majlis sama Dr Mohd Azman menyampaikan surat serah tugas kepada Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir, yang akan mengambil alih jawatan Pengarah PKRC Kelantan yang baharu berkuat kuasa esok.

Terdahulu dalam temu bual dengan Bernama semalam, Dr Mohd Azman berkata Kelantan merupakan negeri kedua yang mempunyai bilangan PKRC tertinggi selepas Sarawak, dan menurutnya ketika ini 13 PKRC yang dibuka di Kelantan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini merawat lebih 2,000 pesakti, sekali gus menunjukkan betapa gejala COVID-19di Kelantan cukup membimbangkan.

“Kelantan turut memiliki sebuah pusat kuarantin klinikal pertama seumpamanya di Malaysia iaitu PKRC Khas Gelanggang Seni Kota Bharu yang dilengkapi ciri-ciri khas seperti 30 katil perubatan, bekalan oksigen mudah alih, mesin elektrokardiogram (ECG) dan kelengkapan perubatan yang lain,” katanya.

Semalam, Kelantan mencatatkan 907 kes baharu positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes positif kini menjangkau 26,481 kes.

Sehubungan itu Dr Mohd Azman menasihati seluruh rakyat Kelantan agar patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) untuk membendung penularan COVID-19.

“Tambahan pula, kapasiti PKRC seluruh Kelantan juga hampir mencapai kapasiti penggunaan 100 peratus, dan dalam tempoh 72 jam sahaja PKRC yang baharu dibuka boleh penuh. Malah, purata kemasukan pesakit ke PKRC lebih ramai berbanding mereka yang kita discaj saban hari,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here