KUALA LUMPUR, 1 Jun — Kejayaan pelaksanaan Program Subsidi Upah 1.0, 2.0 dan 3.0 oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam menyelamatkan 4.7 juta pekerja dan 498,882 majikan mendorong kerajaan melanjutkan program itu bagi tempoh sebulan lagi menerusi PEMERKASA Tambahan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata usaha itu secara tidak langsung memberi kelegaan kepada rakyat dalam berdepan waktu sukar susulan penularan COVID-19 dan berupaya mengekalkan tenaga kerja dan membantu majikan dalam sektor ekonomi terkesan bagi meneruskan operasi. 

“Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan terus komited dalam usaha untuk memastikan inisiatif-inisiatif yang digariskan di bawah PEMERKASA Tambahan ini dapat direalisasikan dan seterusnya memberikan manfaat kepada golongan yang disasarkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan Program Subsidi Upah di bawah PEMERKASA Tambahan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion yang dijangka memanfaatkan lebih 2.5 juta pekerja dan 200,000 majikan.

Inisiatif lain di bawah pakej itu meliputi pengecualian levi sebulan (Jun 2021) kepada majikan berdaftar dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad dan peningkatan pengetahuan dan kemahiran melalui portal pembelajaran e-LATIH yang melibatkan 400 modul dan kursus kemahiran secara percuma.

PEMERKASA Tambahan yang bernilai RM40 bilion menggariskan tiga matlamat utama dan tumpuan kepada 12 inisiatif strategik dengan KSM secara khusus terlibat dalam matlamat kedua iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here