SHAH ALAM, 15 Jun  — Sebanyak 165,000 dos suntikan vaksin COVID-19 sehari disasar akan diberikan di Selangor menjelang Ogos ini melalui pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) dan penglibatan klinik dan hospital swasta serta program vaksinasi di lapangan.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata jumlah pemberian vaksin di Selangor kini adalah sebanyak 43,000 dos sehari dan dirancang akan dipertingkatkan kepada 135,000 dos sehari pada Julai selaras hasrat kerajaan mencapai 80 peratus vaksinasi pada September ini.

“Kita telah bincang strategi tingkatkan kadar penggunaan vaksin di Selangor, bermaksud jumlah vaksin yang telah dihantar berbanding yang telah diguna pakai agar masa penghantaran dan penggunaan vaksin itu tidak terlalu lama, membawa kepada strategi menambah kapasiti pemberian vaksin,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor bersama dengan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari di sini hari ini.

Menurut Khairy kadar penggunaan vaksin di Selangor bagi vaksin Pfizer dan Sinovac masing-masing  sebanyak 68 peratus dan 61 peratus.

Beliau berkata bagi golongan warga emas di Selangor seramai 504,296 telah berdaftar setakat ini untuk mendapatkan vaksin COVID-19, dengan 45 peratus atau 225,186 telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala seramai 218,363 telah menerima tarikh janji temu sehingga 27 Jun nanti.

“Ini menjadikan 88 peratus warga emas yang telah berdaftar sekurang-kurangnya telah menerima tarikh janji temu mereka dan saya jangka kalau dapat diselesaikan Fasa 2 bagi warga emas yang telah mendaftar adalah pada pertengahan Julai di Selangor,” katanya. 

Pada masa sama, Khairy berkata penting untuk masyarakat faham bahawa kerajaan tidak terus mengetepikan pelaksanaan program vaksin Fasa 2 malah terus dijalankan sebagaimana dirancang walaupun Fasa 4 telah dimulakan. 

“Ini kerana ketika Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan masih ada sektor ekonomi tertentu yang beroperasi dan ini sangat penting sebab kawasan tapak kerja sudah menjadi kluster jangkitan sebab itu kita juga bagi tumpuan pada Fasa 4,” katanya.

Beliau berkata kilang Texas Instruments akan menjadi kilang pertama di Selangor memulakan Fasa 4 program vaksin esok dan akan diperluas lagi untuk sektor perkilangan dan sektor pembinaan lain di negeri  ini Julai akan datang.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga sedang mengumpul senarai kilang yang akan terlibat dalam program ini,” katanya.

Mengenai laporan bahawa Kerajaan Jepun mahu menyumbang vaksin AstraZeneca kepada Malaysia, Khairy berkata pihaknya masih menunggu surat rasmi dari negara itu terutamanya mengenai jumlah dos dan perkara berkaitan lain.

Manakala bagi rancangan Kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk menderma vaksin ke negara Asia termasuk Malaysia, Khairy berkata Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan mengadakan mesyuarat pada malam ini dengan pihak Jabatan Negara AS bagi memperincikan secara lanjut mengenai jumlah vaksin bakal dihantar.

“Komitmen itu juga telah disampaikan kepada saya oleh Duta Amerika Syarikat ke Malaysia,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here