JELI, 3 Julai — Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan merangka strategi yang lebih berkesan bagi menangani isu kemiskinan terutamanya melibatkan kaum Orang Asli di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ini berikutan insiden kemiskinan dalam kalangan lebih 200,000 Orang Asli di seluruh negara adalah kira-kira 34 peratus sebelum dilanda pandemik COVID-19.

“Boleh dikatakan hampir semua Orang Asli ini miskin tetapi ada sesetengah daripada mereka melepasi Paras Garis Kemiskinan (PGK). Maka, RMK12 akan kenalkan kaedah atau strategi untuk bawa Orang Asli keluar daripada kelompok miskin.

“Ini merupakan agenda penting bagi negara yang ingin menghapuskan kemiskinan sepertimana dicapai China pada Februari lepas dengan berjaya mengeluarkan 100 juta rakyat mereka daripada kemiskinan,” katanya.

Mustapa berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Rual, di sini hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata bagi merangka setiap strategi yang mampan dalam menangani hal kemiskinan, pihaknya telah menubuhkan ‘Poverty Circle’ atau Kumpulan Pemikir Mengenai Kemiskinan yang melibatkan 25 wakil daripada pihak kerajaan, swasta, universiti serta badan bukan kerajaan.

“Mesyuarat pertama juga telah diadakan pada 1 Julai lepas dan dipengerusikan oleh saya sendiri. Mesyuarat ini akan diadakan sekali pada setiap bulan.

“Kita akan berjumpa (bermesyuarat) dan berkongsi pengalaman bagaimana cara untuk menangani kemiskinan di negara ini termasuk kaum Orang Asli,” katanya.

Ditanya mengenai rangka strategi membawa Orang Asli keluar daripada kemiskinan, Mustapa berkata selain memberi bantuan kebajikan kepada mereka yang memerlukan, pihaknya juga akan memperbanyakkan projek yang boleh menjana pendapatan sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup golongan tersebut.

“Sebagai contoh, di Kampung Sungai Rual ini ada penternakan kambing dan ikan keli. Jadi, kita akan besarkan projek sebegini yang berdaya maju sehingga mampu tingkatkan atau menjana pendapatan mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here