IPOH, 22 Ogos — Jumlah mangsa banjir di dua daerah di negeri ini meningkat kepada 222 orang dengan ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara berbanding 186 orang semalam. 

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata terdapat peningkatan mangsa banjir di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak, Kerian dengan 71 mangsa daripada 18 keluarga berbanding 55 mangsa semalam. 

“Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan SK Alor Pongsu, di daerah yang sama  turut meningkat daripada 11 mangsa semalam kepada 44 orang hari ini, manakala di daerah Larut, Matang dan Selama, jumlah mangsa yang ditempatkan di SK Matang kekal seramai 107 mangsa,” katanya. 

Sementara itu pusat pemindahan Dewan Orang Ramai Sungai Baru, di Taiping ditutup sepenuhnya 4.30 petang semalam berikutan keadaan banjir di Kampung Sungai Nyior, Padang Gajah surut sepenuhnya.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerusi ciapan dalam akaun Twitter rasmi pula memaklumkan hanya kenderaan berat sahaja boleh melepasi kawasan banjir selepas laluan keluar Plaza Tol Alor Pongsu (luar kawasan selenggaraan PLUS). 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here