IPOH, 22 Ogos — Sebilangan pengusaha dan pekerja restoran di Perak rela menunggu giliran untuk mendapatkan vaksin secara percuma melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kerana tidak mampu untuk membeli vaksin melalui program SilverVax.

Presiden Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Perkasa Perak (PPKMP) Suhaimi Derais berkata ramai pengusaha atau pemilik kedai menutup kedai mereka selama berbulan-bulan kerana mereka tidak mempunyai keuntungan jualan untuk membayar vaksin menerusi program SilverVax.

“Ramai pengusaha atau pemilik kedai makan masih belum menerima vaksin dan menutup kedai mereka berbulan-bulan. Mereka ini berat hati untuk membayar nilai vaksin di bawah SilverVax sebanyak RM380 seorang, belum lagi kos untuk membayar vaksin buat pekerja-pekerja mereka.

“Oleh itu peniaga dan pekerja restoran ini lebih rela menunggu nama mereka dipanggil untuk disuntik dalam MySejahtera melalui program yang telah kerajaan sediakan secara percuma iaitu PICK,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Suhaimi juga memohon agar pihak berwajib memberikan keutamaan kepada peniaga sektor makanan mendapatkan suntikan vaksin agar keselamatan pembeli dan peniaga dihindari daripada jangkitan COVID-19. 

Sementara itu, seorang pemilik dan pengurus restoran Mohd Khirul Adnan Hamid, 33, berkata beliau tidak mampu untuk membayar vaksin menerusi program SilverVax berikutan sudah empat bulan tidak menjalankan operasi perniagaan. 

“Saya lihat pelanggan juga takut untuk keluar rumah apatah lagi meluangkan masa makan di dalam kedai seperti dahulu dan dalam keadaan kes yang semakin tinggi ini menyebabkan kedai saya tiada kuasa pembeli. Saya rasa tidak berbaloi untuk saya bayar kemudian saya juga akan kerugian kerana tiada pembeli. 

“Kalau pihak pengusaha restoran lain mampu untuk membayar terpulang kepada mereka. Buat sementara ini saya tenang dahulu menunggu panggilan vaksin dalam MySejahtera,” katanya yang berniaga pelbagai menu masakan tengah hari.

Dilapor pada Khamis, Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad menggalakkan pengusaha dan pekerja restoran di negeri ini untuk menyertai Program Vaksin Perak (PVP) SilverVax agar perniagaan mereka kembali beroperasi seperti biasa sekali gus dapat mengekang penularan pandemik COVID-19.

Program vaksinasi SilverVax dilancarkan pada 2 Ogos lepas dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) menerusi anak syarikatnya Majuperak Holding Berhad (MHB), telah dilantik mengetuai pembelian vaksin bagi PVP untuk mempercepat proses vaksinasi terutama bagi pemain industri swasta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here