KUCHING, 27 Ogos  — Berikutan bilangan kes COVID-19 masih pada paras membimbangkan, tempoh kuat kuasa garis panduan di Zon Selatan yang melibatkan Daerah Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Asajaya, Simunjan, Serian dan Tebedu dilanjutkan hingga 5 Sept ini, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

JPBN Sarawak memaklumkan antara garis panduan yang masih dikekalkan ialah makan di premis atau ‘dine-in’ tidak dibenarkan selain tempoh operasi perniagaan dipendekkan bermula 5 pagi hingga 8 malam serta individu atau berkumpulan tidak dibenarkan berada di kawasan awam selepas 10 malam tanpa alasan munasabah.

“Selain itu, pergerakan rentas daerah dari Zon Selatan ke daerah lain perlu mendapatkan kelulusan Polis Diraja Malaysia (permit polis) dan keputusan negatif ujian Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) atau Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan.

“Saringan RTK Antigen COVID-19 boleh dibuat di Klinik Kesihatan melalui temu janji terlebih dahulu,” menurut JPBN Sarawak.

Hari ini, Sarawak merekodkan 2,224 kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 107,296 manakala jumlah kematian akibat pandemik di negeri itu meningkat kepada 513 orang susulan tiga kes kematian hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here