GEORGE TOWN, 30 Ogos — Sebuah pusat kecantikan di Batu Uban di sini yang secara haram menawarkan ujian saringan COVID-19 kepada orang ramai, malah dengan bayaran lebih murah berbanding klinik swasta, diarah tutup serta-merta selepas diserbu pihak berkuasa hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Kesihatan Unit Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) Pulau Pinang, Dr.Mohamed Iqbal Hamzah berkata pihaknya menjalankan serbuan bersama penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada pukul 11 pagi selepas menerima maklumat berhubung perkhidmatan ujian saringan COVID-19 di pusat kecantikan itu.

“Siasatan awal mendapati pusat kecantikan itu menawarkan perkhidmatan ujian saringan COVID-19 tanpa pengendalian pihak bertauliah, dan semasa serbuan pekerja di situ sendiri melakukan ujian saringan kepada pelanggan tanpa kehadiran doktor mahupun jururawat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya harga yang dikenakan bagi setiap ujian saringan di pusat kecantikan itu dipercayai hanya RM50 dan ia mendapat permintaan yang tinggi, sehingga lebih 100 pelanggan telah menjalani ujian saringan di premis itu sejak ia beroperasi dua hari lepas.

Beliau berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here