KUALA LUMPUR, 22 Sept — Lebih 420,000 pelanggan individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Maybank dan Maybank Islamic telah menerima bantuan pembayaran balik berjumlah lebih RM77 bilion sehingga 31 Ogos, 2021, bagi membantu mereka mengharungi kesan pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank Datuk John Chong berkata bahawa kadar pinjaman di bawah bantuan pembayaran balik melonjak lebih dua kali ganda dalam tempoh dua bulan ini berikutan penawaran moratorium automatik enam bulan di bawah program Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Beliau berkata daripada keseluruhan pembiayaan di bawah bantuan pembayaran balik/portfolio pinjaman (berdasarkan baki tertunggak), 69 peratus memilih pelan penangguhan bayaran ansuran (moratorium).

“Bagi pelanggan yang terjejas teruk, kami telah menawarkan tempoh moratorium yang lebih panjang, selaras dengan usaha kami untuk memastikan mereka dapat melalui waktu yang sukar ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.  

Sehubungan itu, beliau menggesa para pelanggan yang memerlukan bantuan untuk segera mengemukakan permohonan mereka.

Selain bantuan kewangan, Maybank juga membantu PKS melalui Sama-Sama Lokal, platform e-dagangnya dalam aplikasi Maybank2U, yang membolehkan peniaga memasarkan produk atau perkhidmatan  mereka secara dalam talian menerusi platform tersebut tanpa dikenakan sebarang komisen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here