KUALA LUMPUR, 26Okt  — Kerangka Experiential Learning and Competency Based Education Landscape (EXCEL) yang dilancarkan hari ini bertujuan melahirkan graduan yang holistik serta berkemahiran tinggi.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata kerangka EXCEL akan memfokuskan kepada kaedah pembelajaran pendidikan berasaskan kompetensi dan pengalaman melalui empat teras.

Empat teras itu ialah Industry Driven Experiential Learning (IDEAL), Community Resilience Experiential Learning (CARE), Research Infused Experiential Learning (REAL) dan Personalised Experiential Learning (POISE).

“Penghasilan EXCEL adalah bagi memperkasakan lagi pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025, di samping turut bertujuan untuk menghasilkan ‘lifelong learners’, ‘innovative entrepreneurs’, ‘creative practitioners’ and ‘change-makers’.

“EXCEL juga dibangunkan bagi mengurangkan jurang kesepadanan kemahiran yang selalu dibangkitkan oleh industri yang pada masa sama dapat meningkatkan lagi kualiti dalam sistem pendidikan tinggi di Malaysia,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran EXCEL secara maya hari ini.

EXCEL merupakan kerangka transformasi program akademik yang dibangunkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama universiti awam, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta beberapa agensi lain seperti TalentCorp, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Noraini berkata di bawah teras IDEAL, ia bertujuan untuk menghasilkan graduan yang selari dan memenuhi keperluan semasa selain pengalaman pembelajaran di industri akan dapat meningkatkan prestasi pelajar dari segi atribut dan kemahiran.

Di bawah teras CARE, ia memfokuskan pembelajaran pengalaman kepada keperluan masyarakat dan mewujudkan perubahan sosial yang positif melalui pembelajaran berasaskan komuniti manakala di bawah teras REAL, ia mendedahkan pelajar kepada dunia penyelidikan dan membolehkan pelajar mengenal pasti masalah, mengejar minat, meneroka sesuatu yang baharu, mengasah serta mencabar diri dengan cara inovatif.

Di bawah teras POISE, ia merupakan struktur kurikulum yang memperluas akses pelajar ke pelbagai pilihan mengikut minat dan kecenderungan.

“Ini akan memberikan peluang kepada pelajar untuk memperoleh kelayakan akademik dengan peluang untuk belajar sepanjang hayat. Kerangka POISE menyediakan pelajar di IPT dengan pembelajaran secara pilihan atau bufet yang terpimpin dan tersusun selaras dengan keperluan program tersebut,” katanya

Dalam pada itu, Noraini berharap EXCEL akan menjadi pencetus kepada kreativiti dan inovasi institusi pengajian tinggi dalam mereka bentuk program pengajian masing-masing.

“Pastinya, kita akan menyaksikan anjakan yang besar terhadap ekosistem pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here