KUALA LUMPUR, 27 Feb — Sebanyak 129 kes iaitu 0.47 peratus daripada 27,299 kes baharu yang dicatatkan semalam terdiri daripada kategori tiga, empat dan lima, berbanding 156 kes pada Jumaat lepas. 

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata baki 27,170 kes (99.53 peratus) terdiri daripada kategori satu dan dua, dengan pertambahan kes baharu ini menjadikan jumlah kumulatif kepada 3,395,170 kes. 

“Daripada 129 kes kategori tiga, empat dan lima yang dilaporkan; 32 kes tidak divaksin atau belum lengkap vaksinasi; 71 kes telah menerima dua dos vaksin COVID-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 26 kes telah menerima dos penggalak,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurutnya, kes COVID-19 yang dimasukkan ke hospital pada 26 Feb (semalam) adalah sebanyak 1,624 kes dan daripada jumlah itu, 598 (36.8 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima; manakala baki 1,026 kes iaitu 63.2 peratus melibatkan kes daripada kategori satu dan dua. 

Merujuk kepada jumlah kes sembuh, beliau berkata sebanyak 22,710 kes dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh meningkat kepada 3,063,560. 

Mengenai penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) COVID-19 di hospital, beberapa negeri menunjukkan peratusan pengisian 50 peratus atau lebih iaitu Kelantan (94 peratus), Melaka (71), Johor (67) Kuala Lumpur (58), dan Putrajaya (50). 

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan Malaysia mula merekodkan lonjakan kes pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-6/2022 dengan 115,032 kes iaitu peningkatan 167 peratus berbanding 43,062 kes pada ME ke-5/2022. 

Beliau berkata sehingga 19 Feb, Malaysia melaporkan 950 kes varian Omicron melibatkan 764 kes jangkitan dari luar negara dan 186 kes penularan tempatan serta memaklumkan peningkatan kes ini turut dicatatkan negara ASEAN lain termasuk Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina.

Menurut kenyataan beliau, hasil data survelan genom SARS-CoV-2 untuk enam bulan lepas iaitu dari Ogos 2021 hingga Jan 2022 mencatatkan varian Omicron merangkumi 80 peratus daripada semua hasil penjujukan genom di Malaysia.

Walaupun varian Omicron ini menyebabkan gejala dan komplikasi lebih ringan berbanding varian lain, Dr Noor Hisham berkata antara langkah yang perlu dilaksanakan bagi melandaikan lekuk COVID-19 ini adalah degan meningkatkan liputan vaksin COVID-19.

“Langkah yang perlu diambil adalah meningkatkan liputan dos penggalak vaksin dalam kalangan dewasa; dan liputan vaksin COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak 5 hingga 11 tahun.

“Selain itu, perkhidmatan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara perlu dioptimumkan untuk rawatan pesakit COVID-19 bagi kategori 1 dan 2a dengan meningkatkan kapasiti CAC maya serta kesiapsiagaan perkhidmatan hospital dalam rawatan pesakit kategori 2b ke atas,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here