SHAH ALAM, 28 Mac — Seramai 43 pendatang asing warga Indonesia yang cuba memasuki negara ini secara haram ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan kira-kira 1.6 batu nautika barat daya Sungai Janggut, di Kapar, Klang, awal pagi tadi. 

Pengarah Maritim Selangor Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata kesemua yang ditahan berusia lingkungan lima hingga 47 tahun terdiri daripada 30 lelaki, 12 perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki.

Beliau berkata radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) APMM di Area Command Centre (ACC) Klang telah mengesan sebuah vesel mencurigakan sedang bergerak sekitar perairan Pulau Angsa menuju ke Jeram pada kira-kira pukul 12.10 tengah malam. 

“Berikutan itu, sebuah bot ronda APMM yang sedang melaksanakan Op Belangkas di perairan Kuala Selangor telah diatur gerak dan sebaik tiba di lokasi, anggota penguat kuasa telah menemukan sebuah bot pom-pom sarat dengan penumpang.

“Bot berkenaan telah diarahkan berhenti, namun tidak diendahkan suspek sebaliknya bertindak memecut laju untuk meloloskan diri, sebelum berjaya dipintas dan ditahan 10 minit kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammad Rosli berkata bot dan kesemua pendatang tersebut ditahan serta diiring masuk ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here