KUALA LUMPUR, 28 Mac — Pasaran aset digital domestik terus berkembang pada 2021 disebalik ketidaktentuan pasaran berikutan pandemik, dengan lebih RM21 bilion aset digital didagangkan di semua bursa aset digital (DAX) berdaftar, menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Menurut SC, pasaran aset digital terus menarik minat pelabur apabila jumlah akaun pelaburan meningkat hampir 300 peratus kepada kira-kira 760,000 pada 2021 berbanding lebih 190,000 pada tahun sebelumnya.

“Pelabur berumur di bawah 35 tahun merangkumi segmen terbesar sebanyak 62 peratus, memegang lebih 470,000 akaun pada akhir 2021.

“SC terus memudah cara pengenalan aset digital baharu untuk didagangkan di DAX, dengan kelulusan Bitcoin Cash (BCH) pada Mac 2021 sebagai aset digital tambahan yang dibenarkan,” menurut SC dalam Laporan Tahunan 2021 yang dikeluarkan pada Isnin.

SC berkata, aset digital lain yang dibenarkan untuk didagangkan di DAX termasuk Bitcoin, Ripple, Ethereum dan LiteCoin.

SC menjelaskan, segmen pengurusan pelaburan digital (DIM) terus melebarkan penawaran pasaran modalnya dengan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) melepasi paras RM1 bilion pada akhir 2021.

Katanya, jumlah bilangan broker digital telah mencapai paras tertinggi baharu dengan bilangan akaun telah meningkat sebanyak lebih 50 peratus kepada kira-kira 251,000 pada 2021 berbanding 165,000 pada tahun sebelumnya.

“Peningkatan minat runcit dalam pasaran ekuiti sepanjang tempoh pandemik juga telah mendorong broker digital ke paras tertinggi baharu dengan memperolehi perkongsian pasaran runcit sebanyak 5.45 peratus,” katanya.

Menurut SC, segmen DIM telah berkembang dalam aliran meningkat sejak beberapa tahun lepas untuk menangani keperluan pelaburan pelabur generasi digital yang muncul.

Satu syarikat DIM tambahan telah dilesenkan pada 2021, menjadikan sebanyak lapan syarikat DIM yang kini beroperasi.

“Segmen DIM telah berjaya menarik dan berkhidmat kepada demografi pelabur yang lebih muda dengan lebih 70 peratus pelabur individu yang mengambil bahagian dalam DIM terdiri daripada mereka yang berumur di bawah 35 tahun, dan menarik penyertaan pelabur kali pertama.

“Kemunculan pelaburan baki wang lebihan, di mana baki wang lebihan daripada pembelian, dibundarkan dan dilaburkan ke dalam dana. Ini juga telah membolehkan pelabur untuk mula melabur dengan jumlah pelaburan yang kecil secara mudah,” menurutnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here