BEIJING, 7 April — Protokol Naik Taraf Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) China-New Zealand berkuat kuasa secara rasmi, hari ini.

Difahamkan, FTA yang sudah dinaik taraf itu akan memperkukuh perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara, selain melonjakkan hubungan ekonomi serta dagangan China-New Zealand ke satu tahap lebih tinggi.

Untuk rekod, FTA China-New Zealand telah ditandatangani pada April 2008 dan berkuat kuasa secara rasmi pada Oktober tahun yang sama.

Ia adalah FTA komprehensif dua hala pertama dimeterai China meliputi dagangan barangan dan perkhidmatan, pelaburan serta sektor-sektor yang lain, selain merupakan FTA pertama antara China dengan negara maju.

Pada 2021, China dan New Zealand menandatangani protokol itu berdasarkan perjanjian asal yang menyaksikan kandungan klausa diperluas, dan taraf pembukaan dipertingkat. 

Pada tahun yang sama, jumlah perdagangan China-New Zealand merekodkan US$24.72 bilion, sekali gus menjadi rekod tertinggi dalam sejarah.

Angka itu menyaksikan peningkatan 36.4 peratus berbanding 2020, iaitu 5.6 kali ganda daripada jumlah perdagangan dua hala pada permulaan pemeteraian FTA China-New Zealand pada 2008.

Dalam perjanjian asal, China telah mengenakan tarif sifar ke atas 97 peratus produk dari New Zealand, manakala dalam protokol yang dinaik taraf kali ini, China komited untuk menghapuskan tarif secara berperingkat ke atas sesetengah produk kayu dan kertas, sementara New Zealand pula telah mewujudkan tarif sifar ke atas semua produk import dari China.

Sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik China-New Zealand, pelaksanaan protokol naik taraf akan membantu kedua-dua negara untuk merapatkan lagi kerjasama ekonomi dan perdagangan.

Selain itu ia juga akan membantu kedua-dua pihak mengeluarkan dividen dasar pembukaan peringkat tinggi, menggalakkan liberalisasi dan kemudahan perdagangan dan pelaburan dua hala, selain terus memperkaya kandungan hubungan perkongsian strategik komprehensif China-New Zealand.

Dalam pada itu, penguatkuasaan itu mencerminkan komitmen bersama China dan New Zealand untuk mempergiat kerjasama perdagangan bebas, melonjakkan hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala ke satu tahap yang lebih tinggi, serta menyumbang kepada pemulihan ekonomi dunia pasca pandemik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here