KUALA LUMPUR, 8 April — Industri runcit Malaysia diunjur menyaksikan pemulihan lebih kukuh tahun ini ketika negara memasuki fasa peralihan ke endemik, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong.

Beliau berkata, prospek lebih cerah itu turut disokong oleh langkah pembukaan semula sempadan darat dan udara Malaysia selepas dua tahun tanpa sebarang keperluan kuarantin untuk pengembara yang telah lengkap vaksinasi masing-masing.

“Sejajar dengan pembukaan semula sempadan dan pemulihan lebih banyak sektor ekonomi secara beransur-ansur, Kementerian Pengangkutan akan terus memastikan kelancaran operasi pelabuhan, industri logistik serta perkhidmatan pengangkutan berkaitan yang berperanan penting dalam menentukan rantaian bekalan berterusan tanpa sebarang gangguan.

“Malah, sejak dua tahun lepas, kementerian ini telah memastikan bahawa rantaian logistik dan bekalan kita tidak terhalang biarpun dalam persekitaran impak akibat pandemik,” katanya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-30 Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA) di sini, hari ini.

Wee berkata, Laporan Industri Runcit Malaysia yang dikeluarkan pada Mac 2022 menunjukkan industri tersebut telah mencatat pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 26.5 peratus bagi suku keempat 2021 yang mengatasi unjuran pasaran 18.3 peratus pada November 2021 selepas pelaksanaan langkah melonggarkan sekatan pergerakan pada Oktober 2021.

Menurutnya, perkembangan itu didorong terutamanya oleh sambutan dua perayaan iaitu Krismas dan Tahun Baharu Cina yang diraikan pada awal Februari lepas.

Dalam pada itu, kira-kira 800 tetamu mewakili pelbagai sektor termasuk runcit, pengurusan pusat beli-belah, pemaju hartanah, institusi kewangan dan sektor lain yang berkaitan, menghadiri majlis tersebut.

Setakat ini, MRCA mempunyai lebih daripada 500 peneraju pengendali rantaian runcit, perniagaan francais dan perniagaan berkaitan lain yang mewakili lebih 30,000 premis di serata negara.

Kesemua ahli terbabit menyediakan lebih daripada 300,000 peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia di seluruh negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here