KOTA BHARU, 24 April — Yayasan Petronas menerusi Program Sentuhan Kasih Aidilfitri menyampaikan sumbangan kepada 1,100 keluarga kurang bernasib baik di Kelantan, Terengganu dan Pahang sebagai meneruskan tradisi menyemarakkan sambutan hari raya.  

Di Kelantan, Pengurus Besar Petronas Pantai Timur M Ahmad Shazly Ramli menyerahkan sumbangan berkenaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga Dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi.

M Ahmad Shazly berkata seramai 500 keluarga B40 di Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas, Jeli dan Tanah Merah menerima sumbangan yang dihulurkan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di setiap jajahan terbabit.  

“Setiap keluarga terpilih, menerima sumbangan hamper barangan makanan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung gandum, pes rendang, nasi himpit segera dan santan kotak.

Sebagai langkah menangani penyebaran pandemik pula, Petronas turut menyampaikan sumbangan kit kebersihan yang terdiri daripada pelitup muka, cecair sanitasi tangan dan tisu basah serta kit ujian kendiri COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata setiap keluarga turut menerima sumbangan biskut raya yang disediakan khas oleh peserta Program Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (MEKAR) Yayasan Petronas.

“Ia merupakan sebahagian usaha Petronas membantu meningkatkan taraf kehidupan usahawan industri kecil dan sederhana,” katanya.

Menurutnya sumbangan itu juga antara komitmen berterusan Petronas dalam membantu menyediakan keperluan asas kepada golongan kurang berkemampuan.

“Dua tahun menghadapi pandemik jelas memberi kesan kepada sebahagian rakyat Malaysia. Walaupun negara kini sedang berada dalam fasa peralihan ke endemik, kenaikan harga barangan sedikit sebanyak membebankan mereka terutama di musim perayaan.

Oleh itu, kami berharap sumbangan ini mampu meringankan beban golongan kurang berkemampuan di samping menceriakan mereka sempena hari raya ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here