KUALA LUMPUR, 3 Mei — Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menyelamatkan aset bernilai RM781.4 juta dalam 8,814 kebakaran melibatkan bangunan dan harta benda di Selangor sepanjang 2021.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata dalam tempoh sama hampir RM347.7 juta kerugian direkodkan melibatkan kebakaran harta benda dan bangunan, meningkat berbanding RM297.9 juta kerugian pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun jumlah aset yang diselamatkan daripada 7,521 kebakaran pada 2020 ialah RM2.66 bilion.

“Untuk tahun ini sehingga Februari, sebanyak RM83.5 juta aset melibatkan bangunan dan harta benda dapat diselamatkan manakala jumlah kerugian dicatatkan ialah RM31.1 juta melibatkan 1,090 kebakaran.

“Selain itu, seramai 14 individu maut akibat kebakaran pada tahun lepas manakala jumlah yang maut pada 2020 ialah 18 orang. Setakat Februari tahun ini pula, seramai tiga orang maut,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengenai kebakaran melibatkan rumah kediaman, Norazam berkata antara puncanya ialah jerangan air atau masakan yang dibiarkan sehingga terbakar dan kebocoran kepala gas serta hos gas, selain litar pintas akibat pendawaian elektrik, sumber elektrik yang sentiasa dibiarkan hidup dan penggunaan peralatan elektrik yang tiada pengesahan.

“Bagi mencegah daripada berlaku kebakaran, pastikan api ditutup selepas memasak dan barangan elektrik yang digunakan hendaklah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bomba Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata pihaknya menyelamatkan aset bernilai RM322.4 juta dalam kes kebakaran melibatkan bangunan dan harta benda sepanjang 2021 manakala kerugian yang dicatat ialah RM71 juta.

Beliau berkata jumlah kerugian itu meningkat berbanding statistik 2020 yang mencatatkan RM58.5 juta kerugian namun jumlah aset yang dapat diselamatkan lebih tinggi iaitu RM683.2 juta pada 2020.

“Bagi tahun ini pula sehingga pertengahan April, sebanyak RM182.8 juta jumlah aset yang dapat diselamatkan dan sebanyak RM17.9 juta kerugian dicatat,” katanya.

Nordin berkata jumlah kematian yang dicatat sepanjang tahun lepas ialah lima orang dan hanya seorang maut pada 2020, dan sehingga April tahun ini, seramai tiga orang terbunuh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here