KUCHING, 25 Jun — Hasil penyelidikan kerajaan Sarawak mengenai daya maju ekonomi terhadap penggunaan algae untuk menghasilkan bahan api biologi, akan diketahui sekurang-kurangnya enam bulan lagi.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata penyelidikan itu yang sebelum ini pernah dinyatakannya, dijalankan oleh penyelidik dilantik Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC), sedang mempertimbangkan jumlah dan harga bahan api yang akan dihasilkan.

“Jika harganya bersesuian, jumlahnya boleh dikomersialkan, barulah kita boleh hasilkan dalam jumlah yang banyak. Kita akan pertingkatkan lagi jumlahnya dari situ dan kita boleh hasilkan bahan api biologi untuk pesawat,” katanya kepada media selepas merasmikan Expo Pendidikan Sarawak di sini hari ini.

Beliau berkata penyelidikan dalam bidang seperti itu perlu dilakukan oleh pihak yang berkemahiran tinggi dalam biologi dan kimia dan ini merupakan salah satu contoh untuk menjelaskan kenapa beliau menekankan untuk lebih ramai pelajar melanjutkan pegajian dalam bidang sains dan bukan sains sosial.

Abang Johari juga menggesa rakyat Sarawak untuk mengamalkan budaya ingin tahu bagi memupuk semangat meneroka penyelesaian yang akan membawa negeri ke arah pembangunan lebih tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here